PRK Kemaman: Pesakit gout terawal mengundi
KEMAMAN - Biarpun terpaksa jalan terhincut-hincut kerana sakit gout yang dialami, ia tidak menghalang Kasmani Che Mat, 61, menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Chukai pada Sabtu.
Dia yang ditemani suami, Omar Muhamad Hussin, 66, dari Bukit Kuang tiba seawal jam 7.30 pagi dan kemudiannya dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan.
Menurutnya, mereka berdua memang biasa menjadi orang terawal mengundi sejak daripada muda kerana tidak mahu beratur panjang.
"Memang dari muda lagi saya menjadi yang terawal untuk mengundi sebab suami tidak mahu beratur panjang. Ini makan pagi (sarapan) pun belum, sebab takut sampai lambat.
"Kalau diikutkan, sakit gout saya agak teruk, baru-baru ini terpaksa 'inject' sebab tak tahan sakit. Tapi demi tanggungjawab, saya bertahan.
"Kami bergerak dari rumah jam 7 pagi lagi. Bila dah selesai mengundi, rasa lega sangat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Sabtu.
Sebanyak 49 pusat mengundi dengan 244 saluran dibuka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Ia melibatkan pusat mengundi di empat kawasan Dewan Undangan Negeri di Parlimen berkenaan iaitu Kemasik, Kijal, Chukai dan Air Putih.
Sebelum ini, 387 anggota Polis Diraja Malaysia dan enam anggota tentera yang sepatutnya mengundi awal pada 28 November, telah melaksanakan undi secara pos bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.
Pada 28 November lepas, proses pengundian awal tetap dijalankan di Balai Polis Kijal di sini melibatkan hanya tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!