Pengait buah kelapa sawit jadi jutawan sekelip mata
KUALA LUMPUR - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, mungkin dengan menabung dalam BSN SSP!
Dalam sekelip mata, seorang pengait buah kelapa sawit di Dengkil, Selangor menjadi jutawan apabila dipilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan BSN SSP Bulan Oktober 2023.
Johan A/L Mat, 66, mula menabung dalam BSN SSP sejak 2013, selepas merasa tercabar melihat ramai yang sepertinya memenangi cabutan yang dianjurkan BSN.
“Saya tengok hadiah RM1 juta, lagi pun rasa tercabar juga apabila melihat (pemenang lalu) wanita penoreh getah dari Negeri Sembilan memenangi kereta Mercedes.
“Dalam hati berkata ‘kalau dia boleh menang, takkan aku tak boleh?’, sebab itulah saya menabung dalam BSN SSP,” cerita Johan.
Isterinya pula mula menabung lebih awal dalam BSN SSP sejak 1995, acap kali juga Johan menyemak senarai pemenang yang diumum, namun tak pernah sekali pun nama isterinya naik.
Tapi benarlah apa dikata - rezeki tak salah alamat, takkan awal takkan lambat - bagai bulan jatuh ke riba, akhirnya kali ini tuah menjadi milik mereka apabila Johan terpilih untuk memenangi RM1 juta selepas 10 tahun menabung.
“Saya macam tak percaya menang RM1 juta, bila anak dan menantu telefon dan datang bertanya sama ada saya ada menabung dengan BSN SSP.
“Saya kata ada, kemudian mereka kata pihak bank memaklumkan bahawa nama saya dipilih untuk dapat RM1 juta, saya macam ‘betul ke ni?,” katanya lagi.
Seperti biasa, pada awalnya disangkakan ‘scammer’ tetapi setelah dihubungi oleh pihak BSN sendiri, barulah Johan percaya dan ibarat tak jejak ke bumi kakinya.
Macam-macam dibayangkan dengan wang kemenangan yang begitu banyak itu, namun buat masa ini Johan hanya mahu statusnya sebagai jutawan berpanjangan.
“RM1 juta ini kalau boleh saya nak buat simpanan kekal dan daripada dividennya itu yang dibelanjakan, mungkin untuk beli kereta baharu atau tambah baik rumah.
“Kalau boleh, saya nak kekalkan status sebagai jutawan!” kata Johan.
Johan merupakan jutawan BSN SSP ke-93 dan dua orang lagi akan dinobatkan sebagai pemenang bulan November dan Disember, sekali gus melengkapkan pencarian jutawan BSN SSP seramai 95 orang tahun ini.
Untuk tahun 2023, BSN menawarkan 10 jenis kategori, yang mana empat kategori baharu diperkenalkan dengan penawaran hadiah yang lebih menarik kepada semua pelanggan yang layak.
Sehingga Oktober 2023, jumlah penyimpan BSN SSP adalah seramai 4.68 juta orang dengan jumlah simpanan sebanyak RM5.182 bilion.
“Akaun simpanan paling WOW dengan jutaan ganjaran,” BSN SSP Platinum turut ditawarkan dengan kadar keuntungan sehingga 2.40% untuk simpanan 12 bulan.
Untuk 45 tahun, BSN SSP hadir bersama rakyat, menerapkan tabiat menabung dan merealisasikan impian mereka, seiring visinya ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’ terutama dalam menikmati manfaat menabung bersama BSN.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid, BSN SSP telah menawarkan hadiah bernilai RM27 juta dengan lebih 18,000 pemenang sepanjang tahun 2023.
“Kita telah menyaksikan seorang pelajar 17 tahun menjadi jutawan dan merealisasikan impian untuk pembelajaran yang lebih baik, kita juga telah lihat golongan pesara memenangi cabutan BSN SSP dan merealisasikan impian mereka untuk persaraan yang lebih baik.
“BSN SSP telah merealisasikan impian pelbagai lapisan masyarakat untuk menggapai kehidupan yang lebih baik dengan tabiat menyimpan bersama skim ini,” katanya.
Maklum Mujibburrahman lagi, BSN SSP juga dinobat sebagai produk simpanan Islamik terbaik di Malaysia pada Anugerah Perbankan Runcit Islam 2023 yang berlangsung di Bahrain baru-baru ini. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!