Sultan Selangor berkenan rasmi SIBF 2023
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF 2023 ) berlangsung pada Jumaat hingga 10 Disember di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.
Mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad.
Selangor Royal Office dalam satu kenyataan memaklumkan pada perasmian berkenaan, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan plak penghargaan Selangor International Fellowship Programme kepada wakil lapan negara iaitu Malaysia, Australia, Indonesia, Turkiye, South Korea, Nepal, Filipina dan Azerbaijan.
"Baginda kemudian meluangkan masa lebih sejam untuk mengunjungi reruai jualan buku dan turut membeli beberapa naskhah buku untuk bacaan peribadi baginda," kata Selangor Royal Office dalam kenyataan tersebut di laman Facebooknya.
Dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Acara melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa seperti Indonesia, Azerbaijan, Australia dan Turkiye.
Pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.
SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu adalah kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!