Dua remaja ditahan, muat naik video kata kesat terhadap polis

Remaja berkenaan tidak berpuas hati setelah dikenakan tindakan saman dalam satu operasi trafik. Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang remaja lelaki mengeluarkan kata kesat terhadap polis.
Remaja berkenaan tidak berpuas hati setelah dikenakan tindakan saman dalam satu operasi trafik. Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang remaja lelaki mengeluarkan kata kesat terhadap polis.
A
A
A

BAGAN SERAI - Tidak kena tempat. Itu gambaran boleh diberikan terhadap dua remaja lelaki yang ditahan selepas mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis dalam sebuah video yang dimuat naik di media sosial, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, video berdurasi 39 saat itu memaparkan seorang remaja berusia 14 tahun tidak berpuas hati setelah dikenakan tindakan saman dalam satu operasi trafik di Ban Pecah, Tanjung Piandang.

"Perbuatannya itu dirakam dan dimuat naik oleh lelaki berusia 17 tahun sehingga tular di aplikasi TikTok.

"Polis melalui Bahagian Siasatan Jenayah kemudiannya melakukan tangkapan ke atas kedua-dua remaja itu bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, semakan lanjut kemudiannya mendapati, remaja berkenaan pernah ditahan sebelum ini bagi siasatan beberapa kesalahan jenayah.

Katanya, siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia serta tindakan sita ke atas sebuah motosikal di bawah Seksyen 64 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa boleh menggunakan saluran undang-undang yang betul bagi memastikan tiada kesalahan lain dilakukan.

"Polis juga memberi peringatan bahawa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik sentiasa menjalankan operasi bagi membendung gejala samseng jalanan yang menimbulkan keresahan dan gangguan kepada orang ramai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!