Aduan berkait harimau makin meningkat di Kelantan

Perhilitan Kelantan mengesahkan aduan yang diterima berkait ancaman harimau semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. - Gambar hiasan
Perhilitan Kelantan mengesahkan aduan yang diterima berkait ancaman harimau semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesahkan aduan yang diterima berkait ancaman harimau semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, susulan itu pihaknya sudah menambah bilangan perangkap sebagai salah satu usaha mengatasi konflik antara manusia dengan haiwan karnivor tersebut.

"Di Gua Musang sahaja sudah ada lapan perangkap dipasang.

"Bukan itu sahaja, operasi berkenaan turut melibatkan bantuan ibu pejabat serta kakitangan Perhilitan dari negeri lain," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mohamad Hafid Rohani
Mohamad Hafid Rohani

Menurut beliau, pada masa sama kesemua pengurus ladang dinasihatkan agar menitik beratkan keselamatan pekerja mereka.

Ujarnya, pihak itu juga diingatkan supaya memastikan kawasan ladang sentiasa bersih dan tidak bersemak-samun yang boleh menghalang jarak penglihatan.

Mohamad Hafid memberitahu, pekerja ladang juga diingatkan lebih berhati-hati semasa menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

"Pastikan dalam berkumpulan dan tidak berseorangan atau berdua sahaja," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, enam kes termasuk lima kematian akibat serangan harimau direkodkan berlaku di Gua Musang dalam tempoh dua tahun bermula Julai 2021.

Jumlah itu termasuk kes terbaharu melibatkan seorang pekerja ladang getah warga Indonesia yang ditemukan maut pada Rabu.

Kes serangan bermula pada 5 Julai 2021 di Kampung Sau, Pos Bihai melibatkan kecederaan parah seorang lelaki Orang Asli dan harimau belang betina yang menyerang mangsa berjaya ditangkap serta ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.

Pada 7 Januari 2022, di kampung sama seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau belang dan binatang itu terpaksa ditembak selepas cuba menyerang anggota Perhilitan semasa operasi.

Kejadian pada 5 Oktober 2023 di Pos Pasik pula melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli.

Ia kemudian disusuli insiden pekerja ladang warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, maut dibaham harimau di kawasan ladang kebun getah di Kuala Wok, Pos Pasik pada 10 November lalu.

Selang sehari selepas itu, buruh ladang warga Myanmar, Ahka Soe Ya, 22, pula dilaporkan maut selepas diserang binatang buas itu ketika menoreh getah di Ladang Meranto pada 12 November lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!