Pempengaruh tiga kali ‘lompat’ agama sebelum kenali Islam

Cristina mengambil inisiatif hadir bersendirian ke program World #QuranConvention di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, pada Sabtu bagi mendalami ilmu agama Islam.
Cristina mengambil inisiatif hadir bersendirian ke program World #QuranConvention di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, pada Sabtu bagi mendalami ilmu agama Islam.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pempengaruh media sosial, Cristina Chew, 34, mengakui agama Islam adalah pilihan terbaik buatnya setelah tiga kali ‘lompat’ agama sebelum ini.

Ibu tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan itu berkata, dia mengambil inisiatif hadir bersendirian ke program World #QuranConvention bagi mendalami ilmu agama Islam.

Menurutnya, program pada kali ini menarik perhatian kerana disediakan dalam bahasa Inggeris menjadikannya lebih faham konteks yang ingin disampaikan, lebih-lebih lagi penjelasan daripada bait surah al-Insan.

“Saya datang ke sini seorang diri selepas diberitahu oleh kawan, kebanyakan program keagamaan hanya dalam bahasa Melayu.

“Tapi, apabila kali ini dibuat dalam bahasa Inggeris, jadi ia lebih berkait dengan diri saya kerana saya seorang mualaf sejak Januari 2019.

“Banyak sebab peribadi mengapa saya tertarik dengan Islam, saya dah cuba macam-macam agama dan cari jawapan kepada persoalan saya, tapi akhirnya Alhamdulillah saya temui menerusi Islam,” ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA Sepang pada Sabtu.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli ke konvensyen sehari anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan Bayyinah Institute itu.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Artikel Berkaitan:

World #QuranConvention (WQC) bertemakan ‘Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan’ merupakan sebuah program berasaskan al-Quran bertaraf antarabangsa buat julung kali diadakan.

Penyertaan melibatkan peserta dari Australia, Belgium, Brunei, Kanada, Jerman, Perancis, Indonesia, India, Mesir, Indonesia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Nigeria dan Palestin.

Antara penceramah jemputan ialah Ustaz Nouman Ali Khan dari Amerika Syarikat sebagai Pengarah World #QuranConvention 2023, Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr KH Nasaruddin Umar dan Pengasas Ibn ‘Ashur Centre, Dr Sohaib Hussein.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!