KPKT laksana proses pemutihan patuhi GPP Tapak Perkhemahan

Kor Ming menandatangani plak simbolik melancarkan GPP Tapak Perkhemahan di Taman Rekreasi DR Seenivasagam di Ipoh.
Kor Ming menandatangani plak simbolik melancarkan GPP Tapak Perkhemahan di Taman Rekreasi DR Seenivasagam di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan tempoh pemutihan selama dua tahun bagi memastikan semua pengusaha mematuhi Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, proses pemutihan yang bermula bulan ini memberi peluang kepada pengusaha dan operator tapak perkhemahan menyediakan kawasan rekreasi itu agar selamat dikunjungi.

Kor Ming (empat dari kanan) bersama pihak terlibat menunjukkan kad GPP Tapak Perkhemahan yang dilancarkan di Ipoh pada Sabtu.
Kor Ming (empat dari kanan) bersama pihak terlibat menunjukkan kad GPP Tapak Perkhemahan yang dilancarkan di Ipoh pada Sabtu.

"Kepada mereka yang belum mematuhi kita mencadangkan tempoh pemutihan. Garis panduan ini bukanlah bersifat menghukum sebaliknya kita membantu mereka yang berusaha.

"Selepas pelancaran GPP ini, kita ada garis panduan khusus yang wajib dipatuhi. Kita bagi tempoh dua tahun buat pemutihan supaya semua selamat dan terjamin," katanya selepas melancarkan garis panduan berkenaan di Taman Rekreasi DR Seenivasagam, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee; Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Malaysia (PLANMalaysia), Dr Alias Rameli dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Menurut Kor Ming, objektif garis panduan ini adalah memastikan perancangan tapak perkhemahan mengutamakan keselamatan awam dan kemampanan persekitaran, menyelaras permohonan dan pertimbangan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta meningkatkan kecekapan pengurusan.

Tambah beliau, penyediaan GPP itu dibuat susulan kejadian tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 nyawa, tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan garis panduan tersebut, pengusaha perlu mematuhi enam prinsip perancangan iaitu keselamatan, keselesaan, kemakmuran ekonomi, kelestarian dan kepatuhan undang-undang.

"Kesemua prinsip itu penting supaya pengunjung berasa keselamatan mengunjungi tapak perkhemahan berlesen ini terjamin kerana semua aspek itu dipatuhi," katanya.

Kata Kor Ming, pihaknya akan memperkemaskan beberapa perkara yang dibangkitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) ketika garis panduan itu dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri lalu.

"Masalah teknikal ini bukanlah isu besar antaranya melibatkan penggredan premis penginapan pelancongan sama ada empat bintang atau lima bintang dan skop kerja lain.

"Input positif ini baik apabila pelancong dan pengunjung boleh pilih lokasi perkhemahan mengikut bajet. Jadi perkara ini dapat diselesaikan dalam rangka perundangan sedia ada," katanya.

Pada 16 Disember tahun lalu, seramai 31 lagi terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali.

Anggota keselamatan mengambil masa sembilan hari dalam mencari mangsa yang tertimbus dalam tanah runtuh tersebut.

Tragedi itu adalah kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!