Inisiatif WUIF lahir pemimpin muda Muslim global harus dipuji - Mohd Na'im
SEPANG - Kesungguhan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam melahirkan kumpulan pemimpin muda Islam berkaliber dan berakhlak murni sewajarnya diberi penghargaan dan sokongan sewajarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, usaha murni WUIF itu merupakan langkah terbaik dalam membantu negara membentuk kumpulan pemimpin muda Islam berkebolehan tinggi selaras dengan ajaran al-Quran.
Beliau berkata, WUIF pada masa ini dalam usaha melahirkan kira-kira 500 pemimpin muda Muslim bertaraf global.
Kata beliau, program dikenali 'Young Muslim Leaders for the World' itu melibatkan peserta dari seluruh dunia.
"Mereka ini terdiri daripada pelbagai latar belakang yang akan berpeluang menerajui masyarakat berpandukan formula al-Quran dan Sunnah.
"Usaha secara berterusan itu akan dilaksanakan oleh WUIF menerusi siri kempen #UmmahGrandReset sepanjang tahun depan.
"Kumpulan tersebut akan dibimbing oleh murabbi terpilih dengan diberikan pengisian tertentu selain mereka mengikuti tarbiah 52 kali setahun ketika khutbah setiap Jumaat," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucap tama pada penganjuran World #QuranConvention dengan tema pilihan surah al-Insan di Movenpick Hotel and Convention Centre, dekat sini.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan mencemar duli ke konvensyen sehari anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan Bayyinah Institute.
Majlis turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub.
World #QuranConvention (WQC) bertemakan 'Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan' merupakan sebuah program berasaskan al-Quran bertaraf antarabangsa buat julung kali diadakan.
Penyertaan melibatkan peserta dari Australia, Belgium, Brunei, Kanada, Jerman, Perancis, Indonesia, India, Mesir, Indonesia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Nigeria dan Palestin.
Antara penceramah jemputan ialah Ustaz Nouman Ali Khan dari Amerika Syarikat sebagai Pengarah World #QuranConvention 2023; Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr KH Nasaruddin Umar dan Pengasas Ibn ‘Ashur Centre, Dr Sohaib Hussein.
Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, penganjuran World #QuranConvention merupakan landasan terbaik merealisasikan usaha berterusan kerajaan melahirkan dan membina keperibadian rakyat berakhlak mulia seperti yang diajarkan oleh al-Quran.
Menurut beliau, menerusi pilihan surah al-Insan sebagai tema pada konvensyen kali ini, ia dilihat sangat sesuai dengan konteks Kerajaan Madani.
Kata beliau, berdasarkan enam teras yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri khususnya berkaitan dengan persoalan kemanusiaan, 'ibrah' atau pengajaran daripada surah al-Insan dilihat sangat menepati tujuan murni kerajaan itu.
"Saya percaya dengan pemilihan surah al-Insan pada konvensyen kali ini, ia sangat bertepatan dan diharap dengan perbincangan yang dibawa oleh kesemua cendekiawan dapat dimanfaatkan sebaiknya.
"Kumpulan pemikir Islam yang hadir pada hari ini adalah cendekiawan terkenal di pentas dunia, maka pandangan dan cadangan yang diberikan dapat memberi kefahaman jelas khususnya dengan tema yang dipilih iaitu konsep kemanusiaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!