KPDN rampas 38,500 liter diesel bersubsidi cuba diseleweng
PORT DICKSON - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 38,500 liter diesel disyaki bersubsidi dianggarkan bernilai RM82,775 dalam serbuan Op Tiris di daerah ini pada Jumaat.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan berkenaan dilakukan di sebuah premis tanpa nombor di Kampung Kebun Jimah di sini.
"Siasatan mendapati, premis itu dipercayai dijadikan tempat urus niaga jual beli minyak diesel selain tempat pengumpulan dan penyimpanan minyak diesel bagi tujuan diseleweng.
"Turut disita dalam serbuan tersebut iaitu 15 lori, satu unit badan lori tangki, 32 unit tangki IBC, 15 unit pam minyak berserta hos, dua unit pam bermeter serta wang tunai RM21,000 yang menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM302,775," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, dalam serbuan yang melibatkan anggota Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman itu turut menahan 13 lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 54 tahun.
Ujarnya, mereka ditahan kerana disyaki telah berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
"Satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti berkenaan serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.
"KPDN Negeri Sembilan sentiasa komited dan akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan," katanya.
Tambahnya, pihaknya tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang- undang di bawah KPDN, khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel.
Jelasnya, ia bagi memastikan aktiviti haram yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.
"KPDN Negeri Sembilan memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual agar mematuhi perundangan yang berkuatkuasa.
"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!