Penuntut IPT ugut upah rogol rakan sekuliah
KUALA NERUS - Bengang 'rahsia' mengambil dadah terbongkar, seorang penuntut institut pengajian tinggi (IPT) bertindak mengugut akan mengupah orang untuk merogol rakan sekuliahnya.
Tidak cukup dengan itu, dalam kejadian jam 10.30 malam, lelaki berusia 20-an itu turut mengugut memukul mangsa sehingga mati.
Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 23 tahun itu berada di sebuah studio di IPT bersama beberapa rakan lain sebelum didatangi suspek ditemani tiga lagi rakan lelaki tidak dikenali dalam keadaan tidak berpuas hati.
"Suspek terus memaki hamun mangsa sebelum mengugut akan mengupah orang untuk merogol wanita itu sambil menunjukkan isyarat lucah.
"Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek yang memalukannya di hadapan penuntut lain bertindak menegur perbuatan itu dengan cara baik.
"Tetapi teguran itu mengundang rasa tidak puas hati suspek sebelum mengugut akan membelasah mangsa sehingga mati," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata, suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan memberi maklumat kepada pihak IPT dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengenai dirinya yang dipercayai terbabit dengan dadah.
"Selain mengugut mangsa, suspek juga difahamkan ada memburukkan mangsa di hadapan pensyarah dan rakan sekelasnya.
"Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat laporan di Balai Polis Gong Badak semalam untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!