Ketua Pejuanita Muda letak jawatan

Nurul Ashikin
Nurul Ashikin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin sayap Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Dr Nurul Ashikin Mabahwi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pejuanita Muda dan Ahli Majlis Eksekutif Pusat (MEP) parti itu.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, surat berkenaan telah diserahkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan ahli yang memberi sokongan tidak terhingga selama ini.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada mantan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam parti politik serta menimba pengalaman tambahan dalam arena politik tanah air.

“Kepada Pejuanita Muda yang saya sayangi, saya ucapkan terima kasih atas sokongan dan dukungan padu yang diberi kepada saya selama saya mengemudi sayap Wanita Muda Pejuang.

“Semoga ukhuwah dan silaturahim kita tetap berkekalan. Saya mengucapkan selamat maju jaya dan didoakan semoga Parti Pejuang terus kuat dalam mendukung perjuangan yang berprinsip,” katanya pada Sabtu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Nurul Ashikin merupakan salah seorang daripada 121 calon dari Pejuang yang hilang deposit selepas masing-masing kalah teruk di kesemua kerusi ditandingi mereka.

Pemegang ijazah kedoktoran Sistem Persekitaran Wilayah di Shibaura Institute of Technology Jepun itu tewas dalam pertembungan sembilan penjuru di kerusi Parlimen Ampang apabila hanya memperoleh 2,653 undi.

Kerusi berkenaan dimenangi calon Pakatan Harapan, Rodziah Ismail dengan majoriti sebanyak 29,681 undi malah penyandang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) turut hilang deposit.

Artikel Berkaitan:

Calon dari Parti Warisan Sabah, Bryan Lai dan tiga calon Bebas juga mengalami nasib sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!