[VIDEO] Air Sungai Golok naik mendadak, penduduk siap sedia pindah
RANTAU PANJANG - Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Golok dilihat mula berkemas dan siap sedia untuk berpindah pada bila-bila masa apabila paras air sungai terbabit naik secara mendadak pada petang Sabtu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati paras air Sungai Golok sudah melepasi amaran dan berada pada tahap bahaya iaitu 10.20 meter berbanding normal lima meter setakat jam 4.15 petang.
Pada masa sama, beberapa kawasan seperti Kampung Kedai Lama, Kampung Dangar dan sekitar mula menerima limpahan air Sungai Golok.
Seorang penduduk Kampung Dangar, Syed Ahmad Helmie Syed Ibrahim, 34, berkata, paras air Sungai Golok mula meningkat sejak pagi.
"Saya jangka, jika tren air Sungai Golok terus naik dan hujan lebat berkemungkinan besar penduduk akan berpindah pada petang ini," katanya.
Menurutnya, segala persiapan untuk menghadapi banjir sudah dilakukan lebih awal bagi mengelakkan berdepan situasi kelam kabut.
Ujarnya, kebiasaan dia dan keluarga akan berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang Dua.
Seorang lagi penduduk dari Kampung Kedai Lama, Aminah Ab Rahman, 64, mengakui peningkatan paras air Sungai Golok lebih cepat berbanding sebelum ini.
"Sekitar jam 2 petang, air belum lagi melimpah masuk. Namun, sejam kemudian, air mula memenuhi kawasan kampung," katanya.
Dia memberitahu, kebiasaan penduduk Rantau Panjang akan berpindah sekurang-kurang tiga kali sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Sementara itu, Mohd Sham Fauzi, 40, berkata, walaupun sudah lali dengan situasi itu, namun dia tetap memilih untuk membuat persiapan awal.
Dia berkata, kesemua barangan di dalam rumah sudah dipindahkan ke tempat tinggi bagi mengelakkan ia di tenggelami banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!