Penganggur dicekup tipu beli tambah nilai e-dompet

Barang rampasan, telefon bimbit dan kad ATM yang digunakan ketika melakukan jenayah itu. Gambar kecil: Christopher
Barang rampasan, telefon bimbit dan kad ATM yang digunakan ketika melakukan jenayah itu. Gambar kecil: Christopher
A
A
A

MELAKA - Tindakan seorang penganggur melakukan penipuan dalam pembelian tambah nilai e-dompet di sekitar negeri ini dan Muar, Johor akhirnya tumpas apabila dicekup polis pada Khamis lalu.

Lelaki berusia 36 tahun dan beralamat di Taman Cempaka Peringgit di sini, ditahan kira-kira jam 5 petang di Banda Hilir.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek mengakui telah mengambil gambar tiket tambah nilai daripada juruwang di kaunter ketika berpura-pura untuk melihat cetakan kertas itu.

Menurutnya, suspek kemudian membuat helah dengan memberikan alasan kepada juruwang bahawa dia tertinggal dompet dalam kereta sebelum berlalu pergi.

"Setelah beredar, suspek membuat transaksi tambah nilai menggunakan aplikasi e-wallet dalam telefon bimbit.

"Selepas itu dia membuat pemindahan dalam talian daripada aplikasi tersebut ke dalam akaun bank miliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Christopher berkata, suspek turut mengaku menerusi transaksi ke akaun itu dia memperolehi wang tunai untuk membeli makanan dan bekalan dadah untuk dirinya.

"Setakat ini nilai kerugian dianggarkan RM200 dan polis turut merampas satu telefon bimbit, kad sim telefon serta kad debit bank.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari bermula Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!