Banjir termenung sukarkan penduduk kemas rumah
KOTA BHARU - Banjir termenung di beberapa kawasan di sempadan daerah Bachok menyukarkan penduduk untuk mengemas kediaman dan premis mereka.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan itu mendapati ada penduduk yang terpaksa memasak di luar rumah dan menumpang mandi di kediaman lain.
Penduduk, Mohamad Hafiq Aiman Azmi, 29, yang menumpang di rumah mentuanya di Kampung Kubang Palas, Bachok memberitahu, keadaan banjir di kediaman itu masih belum surut sejak dua minggu lalu.
"Rumah kami berada di kawasan rendah mengakibatkan air mengalir ke halaman rumah dan ruang dapur dilimpahi air setinggi 0.3 meter," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, bagi memudahkan pergerakan, mereka sekeluarga lebih selesa memasak di luar rumah dan menumpang mandi di rumah neneknya yang terletak berdekatan sementara menunggu banjir surut.
Situasi itu juga menyebabkan Mohamad Hafiq Aiman membuat persiapan setiap tahun dengan menyimpan barang berharga di tempat lebih tinggi.
Sementara itu, tukang gunting rambut, Mohamad Faiz Soh, 30, terpaksa menutup kedainya di Kampung Jejulok di sini kira-kira empat hari selepas hujan lebat minggu lalu.
Bagaimanapun katanya, air surut beberapa hari dan kawasan kedainya kembali dinaiki air pada Jumaat (semalam) kira-kira 0.4 meter.
"Laluan ke Kampung Takang dinaiki air kira-kira 300 meter dan sukar surut menyebabkan kedai saya turut digenangi air," katanya.
Mohamad Faiz yang sudah sembilan tahun menyewa di kedai berkenaan reda dengan situasi itu.
"Laluan ini memang menjadi lokasi pesta banjir bagi penunggang motosikal yang berkumpul untuk meredah air," katanya.
Sementara itu, menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 6.28 petang, seramai 1,613 mangsa banjir ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam pada itu, paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras bahaya iaitu 10.32 meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!