Hadiah ulang tahun pertama kegagalan pentadbiran Anwar - Hamzah
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mendapat mandat sebagai wakil rakyat Parlimen Kemaman bakal memberi nilai tambah berganda kepada kualiti Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, kemenangan besar itu membuktikan sokongan padu pengundi Melayu yang menandakan secara jelas lagi bersuluh bahawa PN adalah wadah utama politik orang Melayu.
"Kepada sahabat saya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar - selamat datang ke Parlimen.
"Majoriti 37,220 undi yang diterima Dr. Sam - yang menyaksikan lonjakan lebih 10,000 undi juga merupakan bukti jelas bahawa rakyat menolak kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim.
"Keputusan PRK Kemaman ini merupakan suatu tamparan hebat kepada Anwar dan ia adalah hadiah ulang tahun pertama kegagalan pentadbiran PMX," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Pilihanraya Kecil Kemaman menyaksikan Pas berjaya mengekalkan mandat apabila calonnya, Ahmad Samsuri mendahului dengan majoriti 37,220 undi hasil kiraan daripada 249 keseluruhan peti undi pilihan raya itu.
Ahmad Samsui yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya daripada calon BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mendapat 25,023 undi.
Majoriti yang diperoleh calon Pas kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kemerosotan undi sehingga 10,757 undi yang diterima UMNO dalam PRK ini berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, membuktikan berlakunya peralihan sokongan besar-besaran pengundi UMNO kepada PN.
"...tentunya hal ini ada kaitannya dengan kerjasama UMNO bersama Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!