Calon PM: Ahmad Samsuri sedia pikul amanah jika diberi mandat

Ahmad Samsuri (tengah) sewaktu tiba di pusat penjumlahan undi di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada malam Sabtu.
Ahmad Samsuri (tengah) sewaktu tiba di pusat penjumlahan undi di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada malam Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - Ahli Parlimen Kemaman yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sekali lagi menegaskan tidak pernah sesekali terlintas dan bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau sedia mempertimbangkannya pada masa akan datang jika diberi amanah oleh parti dan rakyat.

"Sudah banyak kali saya ditanya tentang perkara ini tapi saya nak beritahu, ia bukanlah target untuk mendapatkan jawatan apabila menyertai politik.

"Tapi, jika sampai satu masa, saya sedia mempertimbangkannya jika diberi amanah oleh parti dan rakyat," katanya pada sidang akhbar di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada Sabtu.

Ahmad Samsuri disebut-sebut bakal calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) apabila dicalonkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Beliau menang dengan majoriti 37,220 dengan memperoleh 64,998 undi, manakala pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari Barisan Nasional (BN) mendapat 27,778 undi.

Keputusan itu bermakna Pas berjaya mengekalkan status quo dengan majoriti besar iaitu penambahan lebih 10,000 undi.

Sementara itu, mengulas mengenai majoriti besar yang diperoleh, Ahmad Samsuri tidak menolak kemenangan besar Pas sebagai tanda rakyat menolak keras BN.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan tindakan BN yang mengemukakan petisyen sehingga menyebabkan rakyat terpaksa mengundi sebanyak tiga kali dalam tempoh setahun.

"Kita boleh tafsirkan begitu (menolak BN), saya tak nak pergi jauh lagi tapi semua pihak boleh membuat apa jua tafsiran.

"Saya tak tolak kemungkinan, itu salah satu sebab (kerana) bermacam perkara yang timbul.

"Semua pihak perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku," katanya.

Menteri Besar Terengganu itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi dan penduduk Kemaman yang terpaksa berdepan dengan suasana pilihan raya dalam tempoh dua minggu ini.

"Terima kasih diatas kemenangan besar ini walaupun peratus keluar mengundi kecil berbanding pilihan raya yang lepas. Target yang kita buat adalah 30,000 majoriti tapi yang diperoleh melebihi sasaran.

"Kita jangkakan peratus keluar mengundi antara 72 hingga 74 peratus (tapi) tak mencapainya kerana pelbagai sebab.

"(Tentang rancangan) Insya-ALLAH, ada beberapa perkara yang bukan sahaja berkait dengan Kemaman, tapi Terengganu sendiri, sedikit sebanyak saya dapat membantu bersama ahli parlimen yang lain untuk kesejahteraan negara," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!