'Game changer' ke Putrajaya - Ahmad Samsuri
KEMAMAN - Kemenangan Pas dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu sebagai 'game changer' kepada Perikatan Nasional (PN) menuju ke Putrajaya, kata Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Itu merupakan ucapan sulung Ahmad Samsuri selepas diumumkan sebagai pemenang bagi PRK tersebut di hadapan lebih 10,000 penyokong Pas di Arena Square Kemaman, pada malam Sabtu.
"Terima kasih semua... apa yang kita hadapi hari ini di Parlimen Kemaman dengan majoriti tinggi hasil kerja kuat semua akan menjadi 'game changer' dan untuk kita menuju Putrajaya," katanya.
Pas berjaya mengekalkan status quo apabila memenangi PRK Parlimen Kemaman dengan majoriti yang lebih besar apabila Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 37,220 berbanding 27,179 undi yang dimenangi penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi manakala pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari Barisan Nasional (BN) memperoleh 27,778 undi.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman di sini, malam Sabtu.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.
Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!