Perang Bekor dalam pelantar sastera
PERANG Bekor meletus setelah pengunduran tentera Jepun dari Tanah Melayu menyebabkan gerila komunis atau Malayan People Anti Japenese Army (MPAJA) yang selama Jepun memerintah bersembunyi di hutan belantara termasuk di kawasan persekitaran Kampung Bekor, Perak berpusu-pusu keluar dari tempat persembunyian lalu membuat kacau ganggu merobek keharmonian hidup masyarakat tempatan.
Bekor sebuah kampung Melayu yang terletak di sisi Sungai Perak, jauh sedikit dari Kuala Kangsar di utara, hampir 20 kilometer ke pekan Parit dari arah selatan namun ia berdekatan pekan Manong.
Bekor menyimpan pelbagai khazanah sejarah bangsa malah tersohor dengan Perang Bekor dapat dijadikan pelantar atau wahana sastera dalam menghasilkan variasi genre sastera termasuk sajak, cerpen, anekdot mahupun drama teater.
Selama ini, Bekor ditenggelamkan oleh keadaan dan persepsi perkauman yang menebal semata-mata kerana di situ pernah tertubuh pasukan parang panjang dan kuntau malah cetusan dendam kesumat terkait kerana pembakaran surau dan sekolah agama ketika berlakunya Perang Bekor.
Sampai bila persepsi itu harus difaktakan! Dan bagaimana pula persepsi yang difaktakan itu dapat disampaikan kepada masyarakat dengan santai tanpa melanggar sempadan sejarah.
Hal ini memerlukan kekuatan sastera, mengolah pandangan dengan bahasa puitis lagi berseni menanggalkan kuping-kuping perkauman sempit, sebaliknya menonjolkan empati kemanusiaan dalam corak penulisan sajak, anekdot, novel, cerpen, teater mahupun sandiwara.
CERITA BEKOR
Tindakan kejam komunis atau MPAJA itu mencetuskan ketakutan serta perasaan dendam membara penduduk Kampong Bekor. Kehidupan mereka tidak lagi aman, sebaliknya sentiasa bimbang jikalau keluarga mereka terperangkap menjadi mangsa kekejaman.
Sebahagian mereka berpura-pura menyokong perbuatan zalim MPAJA tetapi mencari jalan untuk menghalau gerila komunis dan MPAJA dari Bekor.
Hampir lima bulan penduduk Kampong Bekor hidup dalam ketakutan. Walaupun mereka mempunyai beberapa kumpulan silat dan parang panjang serta mengadakan kawalan kampung setiap hari tetapi perasaan ketakutan masih bersarang di jiwa masing-masing.
Malah lebih menakutkan mereka, gerila komunis atau dipanggil Bintang Tiga sudah berani masuk kampung berkeliaran merampas makanan dan berpura-pura menjalinkan persahabatan dengan penduduk kampung.
Dalam tempoh tersebut, siri kejadian pergaduhan antara penduduk Bekor dan komunis atau MPAJA berlaku tanpa dijangka.
Gambaran kronologi siri pergaduhan kaum yang berlaku di Bekor sehingga ke kemuncaknya, pertempuran dahsyat pada 6 Mac 1946 dapatlah diselidiki daripada empat sumber utama iaitu laporan BMA serta keterangan lisan yang telah dikumpulkan oleh Mohamed Ali Haniffa dalam bukunya berjudul Hubungan Melayu-Cina Selepas Pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1945-1955): Konflik dan Kompromi (Penerbit Universiti Utara Malaysia, 2022), kertas latihan ilmiah Universiti Malaya oleh Kamarudin Mohd Piah bertajuk Kampong Bekor sejak 1990, satu kajian sejarah tempatan dengan rujukan khas kepada tragedi 6 Mac 1946 dan artikel Tragedi Bekor 6 Mac 1946 siaran majalah Perajurit bulan Mac 2001.
Perang Bekor bermula dengan serangan waktu Subuh membabitkan 500 orang komunis dari tiga penjuru menyebabkan penduduk Bekor terkejut lalu tercetuskan suasana kelam kabut.
Ramai yang bertempiaran lari menyelamatkan diri malah ada yang bersembunyi dalam pondok padi.
Namun begitu, tidak kurang pula bertindak melawan dengan bersenjatakan pedang dan parang. Mereka tidak mudah menyerah kalah, tetapi melawan bermati-matian.
Akhbar Majlis, 24 Februari 1947 mencatatkan beberapa orang jemaah Subuh yang berada di masjid, mengetuk kerantung (beduk) memberi isyarat kecemasan.
Ketukan beduk bukan sahaja dipalu oleh jemaah masjid tetapi juga oleh komunis yang mengambil kesempatan untuk mengelirukan penduduk Bekor (Mohamed Ali Haniffa, 2022: 149).
Meskipun komunis pada mulanya datang dengan dua kumpulan dari hulu dan hilir Bekor tetapi ketika menyerang mereka berpecah kepada tiga gerombolan.
Gerombolan pertama menyerang dari arah Kampung Kelang dan Kampung Teruan. Gerombolan kedua dari arah Kampung Baru manakala Gerombolan ketiga dari Kampung Kubang Udang.
ANTOLOGI SAJAK
Setiap penjuru simpang dan jalan utama di seluruh Bekor dikawal ketat oleh komunis. Mereka kebanyakannya terdiri daripada orang Cina yang berkebun sayur di pinggir Kampung Bekor dan Manong malah terdapat juga orang Melayu yang menganggotai MPAJA.
Pertempuran di kawasan masjid Bekor yang dicatatkan oleh laporan perisikan BMA, seramai 56 hingga 57 orang yang baru hendak meninggalkan Masjid Bekor selepas solat Subuh dibunuh oleh komunis (WO 172/9773 (234-235) daripada keseluruhan angka korban, hanya seorang sahaja yang mendapat luka tembakan manakala yang lain luka akibat ditikam dengan parang atau pisau (WO 172/9773 (252).
Seramai 15 orang lelaki, tujuh wanita dan lapan orang kanak-kanak telah hilang (WO 172/9773 (286).
Tokoh yang menjadi tonggak mempertahankan Kampung Bekor ialah Abdul Rahman Abdul Manan, Salleh Abdul Manan, Kulub Alang dan Muhammad Ali serta beberapa orang lain.
Mereka bersenjatakan parang panjang, golok dan keris manakala komunis menggunakan senapang, serampang, dan lembing.
Perang Bekor adalah peristiwa hitam dalam episod sejarah negara yang mungkin masih ramai yang tidak tahu. Kubur-kubur mereka yang terbunuh menjadi bukti kepada peristiwa tersebut.
Oleh kerana itu, serangan itu bukanlah berasaskan perkauman kerana terdapat juga penyerang berketurunan Melayu malah amaran awal telah diberikan oleh orang-orang Cina kepada penduduk Bekor bahawa pergaduhan dahsyat akan berlaku dan menyeru supaya bersedia menerima malapetaka yang menggambarkan keakraban hubungan antara kaum di Bekor ketika itu.
Perang Bekor yang berusia 77 tahun itu wajar dirakam dalam bentuk penulisan sastera. Justeru Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) mengambil inisiatif mempelawa para penulis menghasilkan karya mengenai Bekor dalam genre sajak dan anekdot untuk dibukukan.
Antologi sajak berjudul Bekor di Sebalik Cerita Sejarah manakala sebuah lagi koleksi Anekdot Bekor akan diterbitkan awal tahun depan.
* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!