Tiada rundingan, pertukaran tebusan selagi tiada gencatan di Gaza - Hamas

Letupan di wilayah Palestin semasa serangan Israel ketika pertempuran disambung semula antara Israel dan Hamas. - Foto AFP
Letupan di wilayah Palestin semasa serangan Israel ketika pertempuran disambung semula antara Israel dan Hamas. - Foto AFP
A
A
A

GAZA - Pasukan pejuang Hamas dari Palestin tidak akan meneruskan sebarang rundingan, jauh sekali mengadakan pertukaran tebusan Israel yang berada dalam tawanan mereka selagi rejim zionis itu enggan bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Gaza.

Selain itu, penegasan itu juga dibuat Hamas selagi Israel tidak menghentikan sepenuhnya keganasan ke atas rakyat Palestin.

Itu mesej yang ditinggalkan Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Saleh Al-Arouri kepada Israel dalam wawancara dengan saluran berita antarabangsa, Al Jazeera pada Sabtu.

Sehingga kini, tebusan yang masih berada dalam tawanan Hamas terdiri daripada anggota dan bekas anggota tentera, dakwa Saleh sambil mengulangi pendirian “tiada sebarang rundingan akan berlangsung mengenai tebusan-tebusan itu selagi Israel enggan menghentikan keganasan.”

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant pada Sabtu mendakwa, Hamas enggan membebaskan tebusan yang terdiri daripada 17 wanita dan kanak-kanak.

“Sejak dari hari pertama kami (Hamas) sudah beri peringatan untuk membebaskan tebusan zionis, apa yang perlu dilakukan (Israel) ialah membebaskan kesemua tahanan kami, selepas gencatan senjata,” jelas Saleh. - Agensi/Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!