Penduduk terpaksa harung air bertakung
KOTA BHARU - Lebih 100 penduduk di Kampung Rupek di sini, mengalami kesukaran kerana terpaksa mengharung air bertakung sedalam 0.4 meter di jalan hadapan rumah mereka sejak dua minggu lalu.
Keadaan berlaku susulan hujan dan air yang tidak dapat mengalir keluar dari kawasan sepanjang 250 meter tersebut sekali gus tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
Seorang penduduk, Zainuddin Hasan,48, juga pekerja swasta berkata, mengalami sakit sendi pada lutut kerana terpaksa meredah air untuk keluar dan masuk rumahnya bagi melakukan sebarang urusan.
Katanya, masalah air bertakung itu sudah berlaku lebih 20 kali dalam tempoh sembilan tahun selepas sebuah projek perumahan dibina berdekatan dengan kampung itu.
“Saya mengalami kemalangan jalan raya pada tahun 2015 dan tercabut sendi lutut, jadi apabila mengharung air akan bertambah sakit.
“Kawasan ini juga terdapat bendang dan sebelum ini tidak pernah berlaku air bertakung kerana air mengalir ke bendang sehinggalah projek perumahan berdekatan yang dibina lebih tinggi menyebabkan air bertakung di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Rupek di sini, pada Ahad.
Seorang balu tentera, Rosmawati Saad, 44, yang penyewa di kawasan itu, berkata, terpaksa tidur dalam keadaan katil berada di dalam air bertakung yang masuk hingga ke bahagian bawah dalam rumah sewa dua tingkat tersebut.
“Ini pertama kali banjir selepas saya menyewa rumah ini bermula September lalu. Saya menyewa bahagian bawah manakala orang lain menyewa di tingkat atas.
“Katil itu saya lapikkan dua lagi tilam dan tidur di atasnya. Kadang-kadang bangun tidur dalam keadaan basah dan berpindah di tingkat atas kalau air semakin tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Rupek Syukri Ali berkata, pihaknya sudah membina longkang di kawasan itu pada Mac lalu namun tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
“Air dari kampung lain juga mengalir masuk dan bertakung di kawasan ini kerana keadaan yang lebih rendah.
“Longkang yang lebih besar diperlukan untuk membolehkan air mengalirkan keluar ke tali air atau sungai dan saya berharap pihak berwajib akan mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!