KPM ikut garis panduan jika calon SPM terjejas banjir
PASIR GUDANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersedia dengan garis panduan terutamanya berhubung persiapan terhadap kemungkinan bencana banjir ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung mulai 5 Disember ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, segala persiapan kini berjalan dengan sangat baik bagi memastikan calon-calon tidak terkesan dengan bencana alam itu.
Malah menurut Fadhlina, pihaknya yakin persiapan menghadapi peperiksaan terbesar itu berjalan lancar walaupun berlangsung ketika musim monsun timur laut (MTL)
“Kita sudah ada garis panduan dan juga persiapan kita, pemindahan dan sebagainya sekiranya berlaku banjir.
“Sepertimana yang berlaku tahun lepas, apabila ada peperiksaan yang terpaksa dihentikan kerana terputus perjalanan dan sebagainya, jadi perlu peperiksaan ulangan.
“Jadi, itu semua telah kita siapkan dalam garis panduan dan persiapan kita dan kita doakan calon kita berjaya dan dapat mejnawab dengan tenang baik Insya-ALLAH,” katanya.
Fadhlina berkata demikian pada sidang akhbar sempena aksi final Liga Piala KPM-FAM 2023 yang menyaksikan SMK Taman Desa Skudai yang juga merupakan skuad Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT ) bawah-17 tahun, menewaskan SMK Syed Hassan dari Kangar, Perlis, 1-0, di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, pada Sabtu.
Untuk rekod, sebanyak 5,063 sekolah telah diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menghadapi bencana tersebut yang diramalkan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut.
Bagaimanapun, sesi persekolahan di sekolah-sekolah yang dijadikan PPS akan tetap berjalan seperti biasa.
.......................................................................................................................................
Medium terbaik cungkil bakat sukan bola sepak
PIHAK Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat Piala KPM-FAM 2023 sebagai pentas penganjuran terbaik bagi melihat dan seterusnya mencungkil bakat-bakat berpotensi dalam sukan bola sepak.
Menurut menterinya, Fadhlina Sidek, sudah ramai pemain bola sepak yang dilahirkan daripada pertandingan-pertandingan sedemikian sebelum ini.
Malah katanya, penganjuran Liga Piala KPM-FAM 2023 kali ke-16 itu juga sudah sampai ke tahap profesional.
“Kita memang sentiasa bekerjasama dalam pertandingan-pertandingan seperi ini yang bermula dari peringkat sekolah, daerah,negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan.
“Malah, kita juga mendapat sokongan daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dalam hal ini.
“Selain itu, kita juga terlibat secara penuh dalam pelan pembangunan bola sepak negara dan Insya-ALLAH, kita akan pastikan bakat-bakat berpotensi ini terus dapat diketengahkan,” katanya.
Fadhlina berkata demikian pada sidang akhbar sempena aksi final Liga Piala KPM-FAM 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, pada Sabtu.
Pada aksi final berkenaan, skuad SMK Taman Desa Skudai yang juga merupakan skuad Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan skuad SMK Syed Hassan dari Kangar, Perlis 1-0.
Penyerang SMK Taman Desa Skudai, Abid Safaraz Rozaidi muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-31.
Tambah membanggakan, Abid Safaraz turut dipilih sebagai pemain terbaik bagi aksi final berkenaan.
Sementara itu Fadhlina berkata, aksi final berkenaan nyata menarik dengan aksi yang dipamerkan oleh pemain-pemain yang berbakat.
“Perlawanan ini sangat baik sekali, cukup menarik. Kita lihat bagaimana penguasaan padang, skil, dan juga potensi yang dipamerkan.
“Selepas kesemua mereka ini tamat sekolah disambut pula oleh persatuan-persatuan bola sepak supaya bakat dan potensi mereka dapat ditingkatkan lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!