Inisiatif program 1C1R diperluaskan di ibu negara - DBKL

Antara peserta terlibat dalam program gotong royong melukis mural kiosk 1C1R di Perumahan Awam (PA) Seri Pulau Pinang.
Antara peserta terlibat dalam program gotong royong melukis mural kiosk 1C1R di Perumahan Awam (PA) Seri Pulau Pinang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus meluaskan inisiatif program 1Komuniti 1Kitar Semula (1C1R) untuk menerapkan amalan kitar semula kepada masyarakat di ibu negara.

Terbaru, pihak berkuasa tempatan itu menganjurkan program gotong royong melukis mural kiosk 1C1R di Perumahan Awam (PA) Seri Pulau Pinang dengan melibatkan seramai 70 orang peserta.

Menurut DBKL dalam satu kenyataan, peserta terbabit terdiri dari jawatankuasa dan pengerusi persatuan penduduk di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

"Matlamat utamanya sudah pasti untuk menerapkan amalan kitar semula di kalangan masyarakat dan pada masa yang sama menyediakan tempat bagi penduduk untuk menghantar barang-barang yang boleh dikitar semula seterusnya menukarkan mata terkumpul kepada barangan dapur pada kadar yang jauh lebih murah dari harga pasaran," kata kenyataan tu di laman Facebook DBKL pada Ahad.

Bermula tahun lalu, penduduk di kawasan padat penduduk di ibu negara berpeluang menikmati ganjaran berbentuk barangan keperluan asas dengan menghantar barang kitar semula di kios 1C1R.

Antara barang kitar semula yang boleh dibawa ke kiosk 1C1R yang beroperasi dua kali seminggu mengikut jadual yang telah ditetapkan itu ialah tin aluminium, kertas, plastik dan minyak masak terpakai.

Kemudahan kios statik 1C1R adalah untuk membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk setempat, selain mengurangkan penjanaan sisa pepejal di kawasan kepadatan tinggi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!