Datuk, nenek maut kemalangan
GERIK - Pasangan suami isteri warga emas maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas dalam longkang di Kilometer (KM) 71.1 Jalan Kuala Kangsar-Gerik di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Mohamed Rashid Mat Desa, 92, dan isterinya, Fatimah Isa, 83, meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandunya, Filza Izzaty Abdullah, 22, dilaporkan parah manakala penumpang hadapan, Muhammad Hafiz Abdullah, 22, cedera ringan di telinga kanan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan dari Gerik menuju ke Kampung Gelok, Lenggong.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta tersebut dipercayai telah hilang kawalan, terbabas dan terbalik dalam longkang.
"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!