[VIDEO] Tiga beranak tinggal dalam rumah usang

A
A
A

REMBAU - [DIKEMAS KINI] Melihat keadaan sebuah rumah usang di Kampung Chenong Ulu, Chengkau di sini, tiada siapa menyangka ia merupakan tempat berteduh buat tiga beranak sejak empat tahun lalu.

Rumah pusaka dengan sebahagian dinding yang hampir reput dimakan anai-anai serta bocor pada kebanyakan bumbung itu didiami bapa tunggal Juhan Junjong, 53, bersama anak lelaki berusia 13 tahun dan anak perempuan berusia lapan tahun.

Juhan menunjukkan keadaan dalam rumahnya yang usang.
Juhan menunjukkan keadaan dalam rumahnya yang usang.

Menurutnya, kesusahan hidup menyebabkan hanya itu tempat tinggal yang mampu disediakan untuk mereka sekeluarga.

"Sebelum ini saya tinggal di tempat lain, tetapi selepas isteri meninggal dunia saya bawa anak-anak berpindah ke rumah pusaka peninggalan keluarga saya di sini.

"Saya akui keadaan rumah ini agak teruk, tapi saya tak mampu untuk membaik pulihnya kerana kos pembaikan agak tinggi dan saya pula hanya bekerja kampung," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Kesusahan hidup menyebabkan hanya itu tempat tinggal yang mampu disediakan untuk mereka sekeluarga.
Kesusahan hidup menyebabkan hanya itu tempat tinggal yang mampu disediakan untuk mereka sekeluarga.

Ujarnya, dia bersyukur kerana anak-anaknya tidak pernah merungut, namun sebagai bapa dia mengakui sedih kerana tidak mampu menyediakan rumah yang selesa buat mereka.

Artikel Berkaitan:

Malah kata Juhan, tidurnya juga tidak tenang setiap kali hujan kerana perlu beralih dari satu tempat ke tempat lain di sudut rumahnya kerana bumbung yang bocor.

"Saya dan pun meminta bantuan baik pulih rumah sebelum ini, tapi mungkin kosnya tinggi yang menyebabkan perlu menunggu lama.

"Tapi kalau tak dapat tukar dinding, dapat tukar atap dulu pun jadilah. Jadi kami nak tidur, tidaklah perlu beralih-alih," katanya.

Sementara itu ujarnya, sebelum ini dia bekerja sebagai penghantar barang di sebuah syarikat di Subang, Selangor tetapi terpaksa berhenti sejak isterinya meninggal dunia.

Jelasnya, keputusan itu terpaksa dibuat kerana memikirkan anak bongsunya yang masih kecil.

"Sebelum ini arwah isteri yang bantu uruskan anak-anak. Tapi sekarang saya perlu pikul semuanya.

"Sebab itu sekarang saya hanya bekerja kampung supaya mudah uruskan anak-anak. Cukuplah buat kami tiga beranak makan selain ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Lada, Chengkau, Abd Latip Alias berkata, beliau difahamkan permohonan baik pulih rumah Juhan telah pun diluluskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Abd Latif (kanan) melihat keadaan bumbung rumah Juhan (kiri).
Abd Latif (kanan) melihat keadaan bumbung rumah Juhan (kiri).

"Tetapi apabila penilaian secara keseluruhan dibuat kepada rumah Juhan, didapati peruntukan RM15,000 di bawah skim bantuan ini tak mencukupi.

"Ini kerana keadaan rumahnya sangat daif. Jadi saya difahamkan pihak Majlis Daerah Rembau telah buat permohonan peruntukan tambahan," katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sedang berusaha mendapatkan bantuan rumah dengan alternatif lain misalnya menyarankan bapa tunggal berkenaan memohon rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Keadaan bumbung rumah Juhan yang sudah teruk
Keadaan bumbung rumah Juhan yang sudah teruk

Ini kerana katanya, keadaan rumah dihuni tiga beranak terbabit sememangnya tidak sesuai lagi untuk diduduki dan berisiko.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!