Elak main banjir kekang risiko lemas, penyakit bawaan air
RANTAU PANJANG - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan menasihatkan penduduk mengelak daripada bermain banjir bagi mengekang risiko lemas atau penyakit bawaan air.
Pengarah APM Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, ibu bapa dan komuniti juga diminta memainkan peranan untuk memastikan keselamatan anak masing-masing.
“Dari segi keselamatan anak-anak di kawasan banjir ini, kami meminta ibu bapa pantau anak-anak yang bermain air.
“Kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku kerana paras air boleh naik pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ke pekan Rantau Panjang dan Kampung Bagus di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana Pejabat Setiuasaha Kerajaan Kelantan, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.
Menurut Mohd Adzhar, pihaknya melakukan pemantauan di kawasan-kawasan dinaiki air setiap empat jam sekali bagi memastikan keselamatan awam.
Katanya, setakat ini daerah-daerah terlibat banjir iaitu di Pasir Mas, Tanah Merah dan Bachok.
“Pasir Mas paling pusat pemindahan paling tinggi iaitu lima dan semakin meningkat.
“APM akan teruskan melakukan pemantauan semasa banjir melalui keseluruhan 970 keanggotaan dengan menggunakan aset 14 lori dan 80 bot,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!