PRK Kemaman isyarat jelas rakyat tolak kerjasama UMNO, DAP - Saifuddin

Saifuddin Abdullah. - Foto Bernama
Saifuddin Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kemaman pada Sabtu memberi isyarat jelas bahawa rakyat menolak kerjasama UMNO dengan DAP.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, penolakan itu dapat dilihat apabila Pas mengekalkan penguasaan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi hasil kiraan daripada keseluruhan 249 peti undi bagi PRK terbabit.

Menurutnya, mesej yang disampaikan oleh pengundi di Kemaman amat jelas dan rakyat tidak mahu UMNO terus bersekongkol dengan DAP.

"Oleh demikian saya harap pimpinan dan ahli-ahli UMNO supaya berfikir dengan lebih mendalam dan menilai kembali kerjasama mereka dengan PH (Pakatan Harapan).

"Pada saya (mesej) yang sangat jelas. Sedangkan (walaupun) PN kalah contohnya di PRK Pelangai dan Johor Bharu (tapi) melihat pertambahan undi yang sangat tinggi kepada PN.

"Mereka (UMNO) harus kembali kepada perjuangan asal dan melihat jiwa orang Melayu dan bumiputera yang mengalami kerisauan, apabila melihat suatu parti yang bekerjasama dengan parti berhaluan kiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berkenaan projek-projek di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di Indera Mahkota dan menjawab isu-isu semasa di Jaman Tory di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Pada PRK Kemaman, calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tewas kepada calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu itu dengan majoriti 37,220 undi.

Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding 27,778 diperoleh Raja Affandi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, kemenangan di Parlimen Kemaman seharusnya menjadi pengajaran kepada mereka yang kalah dalam pilihan raya supaya berfikir lebih mendalam sebelum membuat petisyen.

Jelas beliau, semua pihak berhak untuk membuat petisyen tetapi perlu melihat kewajarannya.

"Kalau buat petisyen untuk kawasan kita kalah majoriti 27,000 ke atas, itu sedikit tidak logik. Jadi, kita lihat apabila ada PRK di Kemaman majoriti bertambah," katanya.

Menjawab mengenai isi kandungan ucapan Ahmad Samsuri bahawa kemenangan ini sebagai 'game changer' kepada PN menuju ke Putrajaya, Saifuddin berkata, usaha PN untuk ke Putrajaya adalah mewakili hasrat rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menegaskan ramai rakyat sentiasa bertanya mengenai bila pertukaran kerajaan akan berlaku.

"Soal ke Putrajaya itu memang menjadi hasrat oleh rakyat... dulu ketika berlaku pertukaran kerajaan, ia berlaku secara 'senyap-senyap' tapi hari ini kita pergi ke mana-mana, rakyat bertanya 'bila lagi? bila lagi?'

"Pada saya, keputusan pilihan raya kecil (PRK) Kemaman itu adalah salah satu suntikan yang penting dalam proses menuju ke Putrajaya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!