Wanita curi van, bawa lari 10,000 donat
SYDNEY - Polis Australia sedang memburu seorang wanita melarikan diri menaiki van yang membawa 10,000 donat, lapor portal Daily Mail.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wanita berusia awal 30-an mencuri sebuah van menghantar donat Krispy Kreme di sebuah stesen minyak di Pennant Hills Road, Carlingford di bahagian Barat Laut Sydney pada jam 3.30 pagi (waktu tempatan) Rabu.
Semasa kejadian, pemandu van berkenaan sedang membuat pembayaran kepada juruwang sewaktu wanita didapati berambut hitam dan panjang didapati mengambil kesempatan untuk memandu van tersebut keluar.
Van itu sedang dalam perjalanan untuk menghantar donat ke beberapa lokasi di Newcastle.
Krispy Kreme menyatakan bahawa kakitangannya kini bekerja keras untuk menggantikan bekalan yang dicuri, manakala polis sedang mencari wanita tersebut serta kargo yang 'sangat berharga' itu.
Tidak diketahui sama ada wanita itu mengetahui akan kandungan van tersebut, tetapi polis mengesahkan bahawa siasatan kini dijalankan untuk mencarinya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!