Penjaga OKU mahu 'cuti rehat'
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri Kota Lama mengambil serius permintaan penjaga orang kurang upaya (OKU) yang mahu mengambil 'cuti rehat' menjaga ahli keluarga dalam kalangan itu.
ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, cadangan itu merupakan antara luahan penjaga atau ahli keluarga dalam pertemuan bersama mereka pada Ahad.
Menurut Dr Hafidzah, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) yang merupakan perkhidmatan sokongan sosial kepada warga emas dan OKU.
"Ada yang meluahkan bahawa mereka juga kepenatan menguruskan ahli keluarga OKU dan memerlukan ruang untuk bersendiri selain melepas lelah sekurang-kurangnya sehari dalam sebulan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Sambutan Hari OKU di sini.
Selain itu Dr Hafidzah memberitahu, sehingga kini seramai 273 OKU di DUN itu yang mendaftar dengan JKM dan mungkin masih ramai lagi yang tidak berbuat demikian.
Melalui dialog itu juga, kata Dr Hafidzah, OKU turut mencadangkan lebih banyak kemudahan untuk mereka di tempat awam dan masjid.
"Banyak lagi tempat awam yang tidak mesra OKU dan kita berusaha dengan pihak terbabit supaya golongan ini menikmati kemudahan untuk mereka bersosial," katanya.
Sebelum itu, Dr Hafidzah menyampaikan sumbangan makanan asas kepada 30 OKU dan asnaf di DUN berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!