Kerajaan selesai masalah 134 kampung setinggan di Johor

Akmal (tengah) dan Mohd Jafni (kanan) meninjau bahagian dalam rumah PPR Cahaya Senibong, Permas Jaya, Johor Bahru, pada Ahad.
Akmal (tengah) dan Mohd Jafni (kanan) meninjau bahagian dalam rumah PPR Cahaya Senibong, Permas Jaya, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan akan menyelesaikan masalah 10,301 unit rumah dari 134 kampung setinggan di seluruh Johor dengan menyusun dan menempatkan mereka semula dalam usaha merealisasikan sifar setinggan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sudah membentuk satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan secara bersama dalam memudahkan proses itu.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, antara pilihan utama adalah menempatkan penduduk setinggan dari 10 daerah tersebut ke Program Perumahan Rakyat (PPR).

"Johor Bahru merekodkan jumlah penempatan setinggan tertinggi sebanyak 8,793 unit diikuti Batu Pahat (522 unit), Pontian (503 unit) dan Kulai (132 unit).

"Ini diikuti Mersing (96 unit), Tangkak (85), Segamat (47), Kluang (37) dan Muar (27)," katanya dalam sidang akhbar selepas program penyerahan Projek PPR Cahaya Senibong, Permas Jaya di sini pada Ahad.

Turut hadir, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Sementara itu, Jafni berkata, proses penempatan setinggan tersebut akan melalui proses penapisan yang ketat dengan keutamaan diberi kepada orang Johor.

Jelasnya, keutamaan akan diberi kepada mereka yang sudah berada dalam senarai menunggu dan selepas itu rumah setinggan lama akan dirobohkan pihak berkuasa bagi memastikan tiada lagi yang menghuni semula rumah setinggan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jafni berkata, pada masa ini sebanyak 21 projek PPR telah dan sedang dilaksanakan di Johor yang merangkumi 13 projek siap (11,595 unit), enam projek yang masih dalam pembinaan (2,830) dan dua projek dalam perancangan (900 unit).

Mengenai PPR Cahaya Senibong, beliau berkata, sebanyak 400 unit akan diduduki secara sewaan di kawasan seluas tiga hektar dengan nilai keseluruhan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM85.8 juta.

Sebanyak 400 unit PPR Cahaya Senibong siap dibina dan diserahkan kepada penyewa.
Sebanyak 400 unit PPR Cahaya Senibong siap dibina dan diserahkan kepada penyewa.

"la dilengkapi kemudahan seperti taska, tadika, dewan serbaguna, surau, unit kedai dan gerai untuk kemudahan penduduk setempat dan kawasan sekitar.

"Berkonsepkan kawasan kejiranan perumahan moden yang selesa dan selamat, setiap unit rumah dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur.

"Selain itu turut menyediakan empat unit rumah bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Tambah beliau, PPR Cahaya Senibong merupakan kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam usaha menyediakan kediaman yang selesa dan mampu milik kepada rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!