Sistem pendidikan tinggi Malaysia diiktiraf dunia

Sheikh Prof Dr Ahmed Al-Raissouni pada sidang media selepas mengadakan kunjungan di UniSZA hari ini. - Foto Bernama
Sheikh Prof Dr Ahmed Al-Raissouni pada sidang media selepas mengadakan kunjungan di UniSZA hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Sistem pendidikan tinggi Malaysia yang bertaraf antarabangsa sering dijadikan contoh dan panduan oleh banyak negara di dunia.

Perkara itu diakui oleh Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Prof Dr Ahmed al-Raissouni berkata, kualiti pendidikan, siswazah dan segala hasil penyelidikan Malaysia telah menjadi contoh kepada bukan sahaja negara-negara Islam malah juga negara Barat.

Selain itu katanya, sistem pendidikan tinggi di Malaysia turut dijadikan sebagai rujukan untuk pembangunan pendidikan di negara asalnya, Maghribi.

"Kerajaan Morocco (Maghribi) telah membuat ketetapan supaya mengambil contoh sistem pendidikan tinggi di Malaysia untuk membangunkan bidang pendidikan di negara kami," katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam bahasa Arab yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Mengulas lanjut Ahmed al-Raissouni yang juga Profesor Pelawat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA berkata, selain bidang pendidikan tinggi, Malaysia juga dikagumi oleh banyak negara Islam di dunia kerana kejayaan pembangunan sosial, politik, sistem demokrasi dan kehidupan masyarakat majmuk.

Sheikh Prof Dr Ahmed Al-Raissouni (tengah) yang juga Profesor Pelawat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA bergambar bersama kepimpinan universiti itu selepas mengadakan kunjungan di UniSZA hari ini. - Foto Bernama
Sheikh Prof Dr Ahmed Al-Raissouni (tengah) yang juga Profesor Pelawat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA bergambar bersama kepimpinan universiti itu selepas mengadakan kunjungan di UniSZA hari ini. - Foto Bernama

Menurut beliau, ciri-ciri tersebut menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh dan wajar diikuti oleh negara-negara Islam di dunia.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kejayaannya bukanlah 100 peratus, Malaysia memang contoh yang sangat baik dari segi sosial, ekonomi, pendidikan, demokrasi dan masyarakat majmuk,” katanya yang berkali-kali memuji usaha Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, baru-baru ini.

Ditanya mengenai gagasan Rahmatan Lil Alamin menjadi dasar pentadbiran negara, Ahmed al-Raissouni berkata, ia adalah satu konsep yang sangat baik, tetapi apabila menggunakan slogan ini hendaklah memastikan apa yang dibuat menepati apa yang digariskan dalam al-Quran.

Sementara itu, Ahmed al-Raissouni berkata, Kesatuan Ulama Islam Sedunia juga telah menjalin kerjasama dengan beberapa pertubuhan Islam di Perancis, Belgium dan Switzerland bagi menangani isu Islamofobia.

Beliau berkata, dengan kerjasama tersebut diharap dapat menjadi wadah untuk menyampaikan risalah berkaitan keamanan kepada dunia sekali gus menangani isu Islamofobia.

"Matlamat kami di masa hadapan ialah untuk memastikan Kesatuan Ulama Islam Sedunia ini diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Dengan itu ia akan menjadi wadah menyampaikan risalah baik bersama dengan dunia dan dari segi reputasi, persatuan kami mempunyai reputasi yang sangat baik dan ulama-ulama yang dihormati masyarakat dunia," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!