Kamil Munim bertemu Yasin di Hospital Bahagia
SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim bertemu penyanyi nasyid, Muhammad Yasin Sulaiman ketika lawatan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan selepas menyertai program di Parlimen Tambun.
Beliau berkata, pihak hospital tersebut memberi peluang untuk melawat penyanyi berusia 48 tahun itu dan beberapa pesakit lain yang turut menjalani rawatan.
“Selang program saya di Parlimen Tambun semalam (pada Sabtu), saya membuat lawatan ke HBUK.
“Sepanjang lawatan itu, saya diapit Timbalan Pengarah Perubatan, Dr Ahmad Qabil dan Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Dr Ian Lloyd Anthony untuk memberi makluman keadaan semasa hospital itu kepada ahli Parlimen Tambun,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Ahad.
Sinar Harian pada 29 November melaporkan, Hakim Faiz Dziyauddin memutuskan bahawa Yasin Sulaiman dihantar ke HBUK untuk menjalani rawatan mentalnya.
Yasin ditempatkan di hospital tersebut selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor di bawah Seksyen 348(2) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Sementara itu, HBUK merupakan sebuah hospital penjagaan mental yang tertua dan terbesar di negara ini dan berada di bawah penjagaan Parlimen Tambun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!