SMK Meru bawa mentaliti juara berdepan SMK Shah Alam

Pemain-pemain SMK Meru bagi kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023.
Pemain-pemain SMK Meru bagi kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023.
A
A
A

KEJAYAAN skuad bola sepak Bawah 18 (B-18) tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru menjulang kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023, menjadi inspirasi pasukan pelapis untuk mencipta sejarah sama pada Isnin ini.

Pengendali pasukan SMK Meru, Mat Hassan Mat Rofi berkata, kejayaan skuad senior merangkul kejuaraan B-18 secara tidak langsung menjadi penanda aras baharu kepada skuad muda sekolah itu dalam kejuaraan musim ini.

"Alhamdulillah, syukur final berganda bagi pasukan bola sepak SMK Meru B-18 dan B-15 saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari.

"Kejayaan diraih skuad B-18 menjadi dos penggalak kepada skuad B-15 untuk mencipta kejuaraan berganda bagi kedua-dua kategori edisi 2023.

"Malah, moral pemain-pemain berada pada tahap baik apatah lagi kejayaan skuad senior B-18 sebelum ini menjadi pembakar semangat mereka untuk sama mencipta kejayaan," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Barisan pemain, jurulatih dan pengurusan skuad SMK Meru bagi Kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023.
Barisan pemain, jurulatih dan pengurusan skuad SMK Meru bagi Kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023.

SMK Meru mara ke perlawanan akhir kejuaraan yang mendapat tajaan daripada Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) selepas menewaskan SMK Sultan Abdul Samad menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 setelah terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir.

Pada November lalu, skuad B-18 SMK Meru muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah B-18 selepas menewaskan SMK Dato' Harun dalam perlawanan akhir di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)

Artikel Berkaitan:

Pasukan dari Klang itu muncul juara menewaskan jagoan Tanjung Karang tersebut 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-duanya terikat 1-1.

Mengenai persediaan pasukan berdepan SMK Shah Alam, Mat Hassan berkata, dia akan menurunkan barisan terkuat bagi menyaingi pasukan lawan.

"Menjelang final kesemua pemain bebas daripada kecederaan, cuma kita kehilangan seorang pemain akibat pergantungan, namun itu tidak mengganggu persiapan pasukan.

"Baki masa yang ada ini, kami banyak mempertajamkan penyudah jentera serangan kerana kami barisan kejurulatihan amat berharap mereka dapat melaksanakan tugasan mereka pada malam final," katanya.

Sebagai rekod ini merupakan final kali kedua SMK Meru selepas menjuarai edisi sulung kejuaraan tersebut setelah menewaskan SMK Seksyen Sebelas, 3-0 dalam perlawanan akhir pada 2018.

Mat Hassan (kiri) bersama barisan kejurulatihan skuad B15 SMK Meru.
Mat Hassan (kiri) bersama barisan kejurulatihan skuad B15 SMK Meru.

Bagi saingan Piala Sumbangsih pula, SMK Meru muncul juara edisi 2020 selepas menewaskan SMK Dato' Harun, 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1, selain naib juara kejuaraan 2019 dan 2022.

Ditanya mengenai skuad SMK Shah Alam, Mat Hassan berkata:

"Sejujurnya, bagi saya SMK Shah Alam merupakan pasukan pilihan edisi kali ini apatah lagi dengan status juara bertahan dan juga juara Piala Sumbangsih.

"Biarpun begitu, saya percaya pemain SMK Meru tidak akan memberikan laluan mudah kepada SMK Shah Alam, sebaliknya bersedia mengempur pasukan dari Shah Alam, sebaik wisel pengadil.

"Saya juga berharap pemain ke-12, warga Klang khasnya Meru untuk hadir memberikan sokongan kepada pemain-pemain SMK Meru," katanya.

No Image Caption

Dalam perkembangan sama, Mat Hassan mewakili pemain SMK Meru berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam memacu pasukan ke perlawanan akhir.

"Saya berterima kasih kepada seluruh barisan kejurulatihan cikgu Sabri Jaafar, cikgu Nazreen Naim, cikgu Faniezat, cikgu Syukri, coach Azhar Nordin, pentadbir SMK Meru dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) yang telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung sehingga pasukan kita sampai ke peringkat ini," katanya.


SMK Meru Road To Final Petaling Jaya 2023

Separuh Akhir

SMK Sultan Abdul Samad 1-1 SMK Meru

* SMK Meru menang penentuan penalti 3-2

Suku Akhir

SMK Syed Mashor 0-1 SMK Meru

Pusingan 16 Terbaik

SMK Meru 1-0 SMK Sungai Kapar Indah

Kumpulan H

SMK Putra Perdana 0-1 SMK Meru

SMK Dato' Harun 0-1 SMK Meru

SMK Meru 2-1 SMK Seksyen 9

* SMK Meru mara pusingan 16 terbaik selaku juara Kumpulan H (SMK Meru menang tiga perlawanan, jaring empat gol, bolos satu gol)