Sudah-sudahlah kayakan scammer

Walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) acap kali mengingatkan dan mendedahkan angka kes dilaporkan, masih ada juga yang terkena. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) acap kali mengingatkan dan mendedahkan angka kes dilaporkan, masih ada juga yang terkena. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

ADA yang rugi RM1,000, ada yang lesap RM10,000 malah ada juga mangsa lebur ratusan ribu serta jutaan ringgit. Kebelakangan ini, kerakusan scammer semakin menjadi-jadi.

Ligat menipu mangsa dengan pelbagai modus operandi. Walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) acap kali mengingatkan dan mendedahkan angka kes dilaporkan, masih ada juga yang terkena.

Ada yang diperdaya love scam, tawaran pekerjaan, penghantaran barangan terlarang dan skim pelaburan yang bukan-bukan.

Semakin hari, semakin ramai masih tertipu dengan janji-janji manis scammer yang sentiasa mempelbagaikan cara untuk menjerat mangsanya.

Sehingga kini penulis masih tertanya-tanya, mengapa masih ramai individu mudah sangat ‘termakan’ tipu daya sindiket atau pihak-pihak tertentu yang kononnya mampu memberikan pulangan wang berganda-ganda dalam masa singkat.

Terbaharu, pelakon Abby Abadi didakwa berputih mata apabila wang RM18,500 miliknya lesap begitu sahaja selepas ditipu skim pelaburan dalam talian.

Episod duka itu dikongsikan sendiri Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan menerusi akaun Instagramnya.

Kata Abby, dia dijanjikan pulangan sebanyak RM145,000 dalam tempoh tiga jam sekiranya melabur wang pendahuluan berjumlah RM4,000.

Artikel Berkaitan:

Akui pelakon drama Gerak Khas itu, walaupun tidak yakin pada awalnya, dia tetap terpengaruh untuk mencuba.

Namun akhirnya pelakon berusia 45 tahun itu mengakui, itulah bahana apabila tidak pernah berasa cukup.

Katanya, walaupun sudah nampak macam mencurigakan, tetap terpanggil-panggil juga untuk melabur.

Kes melibatkan Abby itu antara ribuan kisah mangsa yang sepatutnya dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Angkara teruja melihat hasil lumayan yang ditawarkan, mangsa mula gelap mata dan dengan mudah membuat pelaburan tanpa usul periksa.

Yang peliknya bukannya memindahkan seringgit dua ke akaun bank individu yang tidak mereka kenali tetapi boleh menyerahkan dengan mudah wang daripada puluhan ribu sehingga jutaan ringgit.

Kebelakangan ini, memang ada banyak grup skim pelaburan di aplikasi Telegram atau WhatsApp yang memasukkan sesiapa sahaja menjadi ahlinya secara automatik.

Hasil pengalaman penulis sendiri yang dibawa masuk ke dalam grup pelaburan itu ialah pada mulanya admin akan membuka akses kepada semua ahli grup bertanya pelbagai soalan dan mereka yang mula melabur akan diberikan pulangan untuk kali pertama.

Selepas beberapa tempoh, admin grup kemudian didapati menukar tetapan dan menutup akses komen. Hanya orang-orang tertentu sahaja boleh memberi komen.

Mereka ini akan ditugaskan untuk memberi komen ‘baik-baik’ kononnya sudah mendapat pulangan pelaburan berkali-kali dengan menyertakan gambar duit tunai berkepuk-kepuk berserta bukti slip bank.

Bagaimanapun, penulis yang bekerja di dunia ónline tahu dan yakin itu hanya wayang.

Kebanyakan gambar wang tunai yang ditunjukkan, diambil dari internet dan foto sama digunakan di grup pelaburan berbeza.

Mungkin bukan semua grup pelaburan itu palsu, namun untuk si scammer, ia diwujudkan dengan satu tujuan, untuk menipu dan membolot semua duit simpanan dalam akaun bank semua mangsanya.

Ingatlah, tiada siapa yang akan memberikan kita pulangan wang dengan mudah apatah lagi dalam tempoh yang amat singkat.

Apabila kita sudah hampir terpengaruh, sentiasalah beringat bahawa untuk meminjam atau meminta duit daripada keluarga, saudara-mara, rakan waima agensi perbankan pun mengambil masa dan itu pun belum tentu dapat.

Inikan pula mahu mendapatkan pulangan pelaburan dengan jumlah tidak masuk akal daripada orang tidak dikenali dalam tempoh tiga jam.

Sebelum ditipu, berfikirlah sedalam-dalamnya. Jika ada pihak yang boleh beri pulangan hasil pelaburan berganda-ganda, pastilah dia akan kayakan keluarganya terlebih dahulu daripada membuka peluang kepada kita atau orang lain.

Pendek kata, selidik dahulu sebelum melabur supaya tidak berputih mata.

Bukan senang nak senang, juga bukan susah nak susah. Tanpa usaha, rezeki tidak akan datang bergolek dengan goyang kaki.

* Nur Farhana Abdul Manan ialah Ketua Unit Editor Pengisian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!