Ibu terpaksa kisar nasi ganti susu

Rohayati menunjukkan pelbagai jenis ubat yang perlu diambil Muhamad Alif Akil.
Rohayati menunjukkan pelbagai jenis ubat yang perlu diambil Muhamad Alif Akil.
A
A
A

MACHANG - Seorang ibu yang berdepan kekangan kewangan untuk membeli susu terpaksa menggantikan nasi kisar untuk anak lelakinya yang terlantar sakit akibat kemalangan sejak lebih 10 tahun lalu.

Muhamad Alif Akil Shari, 27, terlantar selepas terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya pertengahan 2008 lalu di Batu 23, Machang sewaktu menunggang motosikal untuk menghadiri kelas tambahan pada waktu petang.

Selepas menerima rawatan, Muhamad Alif Akil sentiasa mengalami masalah sawan sehingga memaksa ibunya, Rohayati Usop, 53, menjaganya sepenuh masa.

Rohayati berkata, keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga mengalami bebanan kewangan apatah lagi bapa Muhamad Alif Akil, Shaari Ahmad, 56, hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Muhamad Alif Akil hanya mampu terbaring setiap masa.
Muhamad Alif Akil hanya mampu terbaring setiap masa.

"Saya tidak boleh tinggal dia sendirian. Lagipun saya perlu beri dia minum susu setiap empat jam sekali tapi keperluan kami agak terhad sebab Akil perlukan lampin pakai buang dan susu.

"Susu yang diperlukan pun perlu mengikut nasihat doktor. Bukan sebarangan. Ia bukan satu beban tapi saya bersyukur sebab ALLAH berikan satu ujian buat saya dan keluarga dalam memenuhi keperluan ini tambahan pula gaji suami kecil saja.

"Saya pernah kisar nasi untuk dimasukkan dalam tiub susu Akil sebab masa tu kami tidak ada duit untuk beli susu Akil. Saya tidak malu untuk ceritakan hal ini sebab ia merupakan kenyataan yang saya yakin, orang lain yang susah pun akan hadapi situasi yang sama macam saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anak kedua daripada enam beradik itu hanya mampu tersenyum dan angguk sahaja tatkala Sinar Harian menjenguk kediamannya baru-baru ini.

Selain itu Rohayati berkata, Muhamad Alif Akil memerlukan RM1,000 sebulan melibatkan pembelian susu dan lampin pakai buang.

Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Agro Bank Rohayati iaitu 2006672000087506 atau melalui Bank Islam Rohayati, 03045022069691.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!