Kampung Padang Licin tak ubah seperti tasik kiambang
PASIR MAS - Lokasi terjejas banjir, Kampung Padang Licin di sini bertukar menjadi seperti sebuah tasik yang dipenuhi kiambang sejak dua minggu lalu.
Keadaan berlaku berikutan hujan lebat pada musim Monsun Timur Laut (MTL) dan limpahan sungai Pengkalan Rakit yang berdekatan ke kawasan sekitar kampung serta menenggelamkan sepanjang dua kilometer jalan menuju ke Tersang.
Seorang peniaga, Ab Rahman Ab Rahman, 37, berkata, banjir bersama kiambang hanyut itu berlaku di kampung berkenaan saban tahun dan agak ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
“Seminggu sebelumnya, air sudah naik di kawasan kampung ini, tetapi surut semula.
“Bagaimanapun, hujan pada Jumaat lepas menyebabkan paras air kembali meningkat dan membawa lebih banyak kiambang dipercayai dari sungai yang terletak sejauh dua kilometer daripada Masjid Darul Islah di kampung ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Mukim Padang Licin itu, di sini, pada Ahad.
Seorang lagi penduduk, Zamri Abdul Rahman, 33, berkata, banjir di pekarangan rumahnya mencecah 0.7 meter dan menenggelamkan jalan di kampung tersebut sedalam 0.9 meter.
Menurutnya, kehadiran kiambang itu turut mengganggu pergerakan penduduk yang kini menggunakan bot sebagai pengangkutan sementara mereka ketika musim banjir.
“Kami hanya boleh menggunakan dayung dan tidak boleh menggunakan bot berenjin kerana kiambang akan tersangkut pada enjin tersebut.
“Apabila air kering nanti, tumbuhan ini akan tertinggal di merata-rata tempat dan mati sekali gus menyebabkan satu kampung berbau busuk,” kata pembantu kedai makan itu.
Dalam pada itu, setakat pagi Isnin, PPS berkenaan menempatkan 116 mangsa daripada 45 keluarga termasuk seorang orang kurang upaya dari zon Gual Periok.
Selain Kampung Padang Licin, mangsa-mangsa ialah dari Kampung Gual Ketereh, Banggol Ubi Keling, Kusal dan Pengkalan Rakit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!