'Syukur anak terima kelengkapan sekolah'
KUALA SELANGOR - "Saya runsing memikirkan mana hendak cari duit beli kelengkapan sekolah, namun bersyukur kerana LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) bantu ringankan beban," kata seorang nelayan, Tumiran Tamrim, 36.
Timuran berkata, dia terharu apabila anaknya, Muhammad Aiman, 6, menerima sumbangan kelengkapan sekolah termasuk beg dan baucer membeli-belah bernilai RM100.
"Saya seronok melihat mukanya tersenyum dan dia tentunya bersemangat untuk ke sekolah," katanya.
Muhammad Aiman antara 125 anak nelayan yang menerima kelengkapan sekolah sumbangan LKIM dari Kuala Selangor dan Tanjong Karang sempena Program Kembali Ke Sekolah di Kompleks LKIM Kuala Selangor hari ini.
Tumiran memberitahu, anak sulung daripada tiga beradik itu bakal memasuki tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Desa, Tanjong Karang, 2 Januari depan.
Mengulas lanjut katanya, dengan pendapatan tidak seberapa, sudah tentu ia menyukarkannya untuk membeli kelengkapan sekolah baharu anaknya.
"Kerja ini (nelayan) tidak menentu. Hari ini mungkin bernasib baik, esok mungkin kurang hasil pendapatan lebih-lebih lagi keadaan cuaca tidak menentu.
"Mujur anak (Muhammad Aiman) faham situasi yang saya alami dan dia sendiri tidak banyak karenah, malah saya berpesan agar sentiasa bersyukur dengan rezeki diberikan ALLAH," katanya.
Katanya, meskipun bergelut dengan kepayahan, pelajaran anak-anak tidak sesekali diabaikan.
"Memang hidup saya sekeluarga susah, namun memikirkan masa depan anak, saya utamakan pendidikan dahulu kerana mereka penyambung generasi akan datang.
"Dengan bantuan ini, saya berharap anak dapat belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan dunia serta akhirat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebanyak RM23,000 diperuntukkan untuk sumbangan kelengkapan sekolah kepada anak nelayan di kawasan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!