Jeda kemanusiaan sekadar kepuraan Israel untuk berdamai
KUALA LUMPUR - Tindakan tentera penceroboh Israel yang memulakan serangan bertalu-talu ke atas Semenanjung Gaza sejurus tamatnya jeda kemanusiaan pada Jumaat lepas, jelas membuktikan rejim Zionis itu tiada hasrat untuk berdamai.
Pakar keselamatan dan hubungan antarabangsa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, jeda kemanusiaan itu hanya sebahagian taktik Israel untuk menyusun semula strategi ketenteraan bagi menyerang Gaza dengan lebih agresif.
"Dalam tempoh tujuh hari jeda kemanusiaan itu, Israel hanya tidak melakukan serangan udara sahaja tetapi terus melanyak rakyat Gaza dari darat, menyebabkan berpuluh orang terkorban.
"Israel ini tidak pernah mahukan gencatan senjata ataupun pendamaian, bahkan pembebasan tebusan rakyat mereka juga bukanlah rancangan asal. Ia sekadar mengisi kelompangan masa dan bagi memainkan naratif kononnya mereka kisah akan rakyatnya,” katanya kepada Bernama.
Mizan percaya motif sebenar serangan Israel yang kian agresif ialah mahu memaksa seluruh penduduk Gaza berpindah ke Semenanjung Sinai, Mesir.
"Israel mahu memecahkan Gaza dan merampas wilayah itu kerana kedudukannya yang strategik bagi laluan perdagangan dan pembinaan terusan baharu yang dikawal oleh Israel,” katanya.
Penganalisis itu juga berharap agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menempatkan askar pengaman di kawasan itu dengan segera.
"Pasukan pengaman PBB ini adalah suatu keperluan yang mendesak kini, jika pasukan ini mula ditempatkan di sekitar Gaza terutamanya di kawasan kem pelarian, ia mampu mengurangkan bedilan roket Israel atau mereka (Israel) berdepan tindakan undang-undang antarabangsa yang serius,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar negara-negara Islam yang menjadi pengeluar utama minyak dan gas dunia memperlahankan pengeluaran sebagai tanda protes ke atas kekejaman Israel.
"Mungkin Israel tidak mengunakan begitu banyak minyak dan gas tetapi negara lain akan terjejas jika pengeluaran minyak dan gas dunia diperlahankan, secara tidak langsung pelbagai negara akan mula mendesak dengan lebih keras (untuk Israel memberhentikan serangan) kerana kekejaman rejim itu menyebabkan negara lain terkena tempiasnya,” katanya.
Sementara itu, geostrategis Prof Dr Azmi Hassan berpandangan usaha perlu dipertingkatkan untuk memastikan pembunuhan penduduk di Gaza dihentikan dan konflik yang telah berlanjutan lebih 70 dekad itu ditamatkan.
Beliau berkata, biarpun mendapat kecaman hebat dari masyarakat dunia, Israel kekal berani dan angkuh dalam melakukan jenayah kemanusiaan terhadap penduduk Gaza kerana beliau percaya tindakan Zionis itu didukung sesetengah kuasa Barat.
"Apa yang lebih penting ialah memastikan tindakan kejam tentera penceroboh Israel terhadap rakyat Gaza dihentikan sepenuhnya, bukan sekadar gencatan senjata sementara.
"Saya yakin Qatar dan Mesir mampu menjadi pengantara yang baik memandangkan kedua-dua negara mempunyai hubungan terus dengan Israel dan Hamas,” kata Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu.
Israel meneruskan serangannya dari arah darat, laut dan udara ke atas Semenanjung Gaza pada jam 7 pagi Jumaat hanya beberapa minit selepas jeda kemanusiaan tujuh hari yang ditaja oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) berakhir.
Sekurang-kurangnya 15,207 penduduk Palestin, termasuk lebih 6,500 kanak-kanak dan lebih 3,000 wanita terbunuh sejak bermulanya serangan ketenteraan rejim Israel di Gaza pada 7 Oktober.
Bilangan mereka yang dilaporkan hilang, sama ada terperangkap di bawah runtuhan atau nasib mereka tidak diketahui telah meningkat kepada lebih 7,500 orang manakala jumlah kecederaan mencecah 40,650 orang.
Serangan Israel tanpa henti itu juga menyebabkan kemusnahan teruk kepada infrastruktur kritikal di Gaza termasuk hospital, sekolah, masjid dan bangunan kediaman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!