Ella tunai permintaan peminat 'tawan' Sabah
RATU Rock Negara, Ella bakal 'menawan' peminat di Sabah menerusi konsert Jelajah 'Jilid Akhir': Ella Puteri Kota edisi Kota Kinabalu pada 20 Januari depan.
Nor Zila Aminuddin atau mesra disapa Ella berkata, dalam tempoh 35 tahun berada dalam industri seni, ini adalah masa yang tepat untuk mengadakan sebuah konsert yang besar dan pertama kali di Sabah.
Menurutnya, konsert yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, itu nanti adalah atas permintaan daripada peminat dari negeri bawah bayu yang selama ini menyokongnya.
"Konsert ini adalah bagi menunaikan permintaan untuk Ella yang berada di sini, nak datang selalu mustahil. Jadi saya jawab nak tunaikan.
"Sebelum ini ada juga datang Sabah, tetapi kali ini konsert yang besar. Inilah masanya kita buat 'all out' lagi pun kita sudah buat konsert di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sekarang di Kota Kinabalu," katanya dalam sidang akhbar, di sini pada Ahad.
Ditanya kelainan yang akan dibawa dalam konsert itu, Ella menyifatkan Kota Kinabalu sangat istimewa termasuk sebagai lokasi percintaan bersama suami mula berputik.
"Ya (istimewa) sebab Ella rasa sangat istimewa untuk peminat, konsert nanti pun sangat istimewa. Ada banyak kelainan jadi semua kena datang lihat apa yang istimewanya.
"Kita sudah buat istimewa untuk di Kuala Lumpur, untuk Pulau Pinang. Jadi kali ini Kota Kinabalu nanti ada kejutan," katanya.
Ella turut berkata, untuk pemilihan lagu juga ada perubahan berbanding konsert lain termasuk susunannya dan mungkin juga ada rombakan dari segi susunan muzik baharu.
"Sudah tentu ada pelbagai lagu tetapi kita akan beri senarai nanti dan kita juga akan bawa mengikut permintaan peminat dan majoriti," jelasnya.
Tambah beliau lagi, pihaknya masih dalam perancangan untuk 'turun padang' tetapi sambutan daripada peminat di negeri ini sangat mengalakkan termasuk ketika membuat persembahan di Tuaran pada Jumaat.
"Kita tengah rancang dan sedang bincang. Kalau boleh nak jangkau semua peminat Ella di mana pun. Walaupun tiket dijual secara dalam talian tetapi boleh juga didapati dalam bentuk fizikal.
"Sambutan sangat baik, tetapi kita tahu orang Sabah kena ada fizikal tiket. Ella kena datang untuk menjemput peminat, ini antara perbezaan dengan konsert lain.
"Jadi kita jangkakan 6,000 hingga ke 8,000 yang datang ke konsert, kalau boleh penuhkan SICC. Kalau boleh, Insya-Allah kita buat dua hari konsert," katanya.
Difahamkan, persembahan konsert bermula jam 8.30 malam dan peminat bakal disajikan dengan 35 hingga 30 lagu selain terdapat artis jemputan yang turut menghiburkan peminat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, selepas kejayaan konsert di Kuala Lumpur yang berjaya memecahkan rekod The Malaysia Book Of Records dengan penjualan tiket 'sold out' dalam tempoh 24 jam membuktikan Ella memang ratu rock yang tiada tandingan.
"Demi menyahut permintaan Ella yang tidak berpeluang menonton konsert tempoh hari, pihak Hitman Solutions sedaya upaya memberikan kepuasan maksimum kepada penggemar rock di Sabah," katanya yang juga penganjur konsert tersebut.
Penjualan tiket untuk konsert Ella sudah mulai dijual sejak 9 November lalu di laman sesawang www.hitmanlive.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!