Hanya makan nasi berlauk kicap
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kehidupan empat beranak di Jalan Simpang Semabok, di sini, berubah setelah ketua keluarga mereka ditimpa sakit hingga tidak mampu bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Mohd Zaidi Osman, 49, yang sebelum ini melakukan beberapa pekerjaan termasuk kerja-kerja pembersihan landskap terpaksa berhenti kerja, selepas mengalami bisul pada bahagian pinggang hingga punggung.
Menurutnya, meskipun telah menjalani tiga pembedahan pada Julai lalu, namun impak daripada kesakitan itu dia kini tidak boleh berdiri dalam tempoh lama selain menghidap kencing manis.
Katanya, buntu memikirkan nasib mereka sekeluarga, memandangkan perlu menanggung tiga orang anak termasuk anak keduanya, Muhammad Qhalis Qashah Mohd Zaidi, 8, menghidap subdural hemorrhage (pendarahan di bahagian lapisan luar otak).
"Sejak Qhalis bayi dia telah disahkan menghidap sakit itu dan sehingga sekarang hanya terlantar di rumah.
"Dulu saya bekerja dapatlah menanggung kos rawatan dan perbelanjaan seperti lampin pakai buang dan susu, namun selepas tidak bekerja saya tak tahu macam mana nak bantu anak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Semabok pada Isnin.
Jelasnya, disebabkan kesempitan hidup dia sekeluarga sering makan nasi hanya berlaukkan kicap bagi mengalas perut kerana tidak mahu meminta-minta pada sesiapa.
"Saya pernah juga mohon pekerjaan sebagai pengawal keselamatan baru-baru ini, namun tidak berjaya kerana keadaan saya yang sakit dan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat," katanya lagi.
Tambahnya, bersyukur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan bulanan kepada anak keduanya itu selain berharap Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dapat mempercepatkan kelulusan permohonan bantuan makanan.
"Saya dan isteri harap dapat memulakan niaga sarapan pagi untuk menambahkan pendapatan keluarga lebih-lebih lagi bayaran sewa rumah telah tertunggak selama sebulan," katanya lagi.
Isterinya, Salmah Mohd Ishak, 34, berkata, dalam keadaan sekarang sukar untuk bekerja kerana seorang anak terlantar sakit manakala seorang lagi baru berusia setahun empat bulan.
"Tapi jika terpaksa saya akan pergi mengambil upah sebagai pembantu kedai makan dengan bayaran RM35 sehari kerana suami tidak lagi bekerja," ujarnya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abd. Halem turut hadir menyantuni keluarga tersebut dan menyampaikan bantuan wang tunai, bekalan makanan asas serta katil pesakit untuk Muhammad Qhalis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!