Cubaan seludup sarang burung RM2.1 juta gagal

Sarang burung yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia. - Foto JKDM
Sarang burung yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia. - Foto JKDM
A
A
A

KUCHING - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar sarang burung yang telah diproses bernilai RM2.108 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), dua hari lepas.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, hasil kolaborasi cawangan operasi darat ibu pejabat Kastam Kuching bersama unit khas pemeriksaan penumpang LTAK telah menahan lapan kotak konsaimen di Pusat Outbound Loading Bay Kargo.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan menggunakan mesin pengimbas ke atas lapan bagasi penumpang tersebut melalui penerbangan Air Asia AK9237 dan Malindo Air OD7605 yang menuju ke Kuala Lumpur dan transit menuju ke Hong Kong.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas bagasi penumpang, pasukan menjumpai sebanyak lapan karton bersamaan dengan 210.8 kilogram sarang burung yang telah diproses. Kesemua barang disita untuk siasatan lanjut, nilai rampasan RM2.108 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Halimah berkata, siasatan lanjut mendapati barangan tersebut tidak mempunyai dokumen Borang Kastam 2 (K2), permit Jabatan Veterinari Sarawak dan surat levi daripada Jabatan Perhutanan (Hidupan Liar Dilindungi).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 atau denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, atau penjara tidak kurang enam bulan dan lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!