Mbappe pacu kemenangan dramatik PSG

Kylian Mbappe - Foto AFP
Kylian Mbappe - Foto AFP
A
A
A

PARIS Saint-Germain (PSG) meraih kemenangan dramatik terpaksa beraksi 10 pemain selepas penjaga gol, Gianluigi Donnarumma dibuang padang ketika menewaskan Le Havre 2-0 dalam aksi Ligue 1 di laman lawan awal pagi Isnin.

Ketiadaan Donnarumma yang dilayangkan kad merah pada minit ke-10 diganti penjaga gol muda, Arnau Tenas yang melakukan penampilan sulung pertama buat pemain berusia 20 tahun itu.

Di sebalik kemenangan hasil jaringan Kylian Mbappe dan Vitinha, PSG dipaksa bekerja keras mengekang asakan tuan rumah dan kejayaan itu meletakkan skuad bimbingan Luis Enrique di takhta liga berkelebihan empat mata berbanding Nice di tangga kedua.

“Saya amat bangga dengan apa yang dipamerkan para pemain. Mentaliti, keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perkara berbeza yang berlaku ketika perlawanan dan semangat juang pasukan," ujar Enrique.

Kurang seorang pemain tidak membuatkan PSG berputus asa apabila Mbappe membuka tirai jaringan pada minit ke-23 sekali gus menjadi gol ke-15 buatnya dalam aksi liga musim ini.

PSG bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga ke penghujung perlawanan untuk mengesahkan kemenangan mereka menerusi jaringan pemain tengah Portugal, Vitinha ketika permainan sebenar berbaki satu minit.

“Kami mempamerkan keazaman untuk bertahan lebih baik berbanding biasa.

“Kami tidak membuka banyak peluang kepada lawan dan apa yang kami lepaskan diselamatkan Arnau (Tenas),” kata Enrique.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!