Pantau anak-anak sepanjang musim banjir - MB Kelantan

Sebahagian daripada kepimpinan negeri yang hadir ke PPS SK Gual Tinggi, Rantau Panjang pada Isnin.
Sebahagian daripada kepimpinan negeri yang hadir ke PPS SK Gual Tinggi, Rantau Panjang pada Isnin.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengingatkan golongan ibu bapa supaya memberi tumpuan 100 peratus kepada anak-anak sepanjang musim banjir bagi mengelakkan mereka bermain air.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu tragedi melibatkan anak-anak kecil kembali berulang apabila sudah tiga kes dicatatkan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

"Kita harap kepada ibu bapa ambil berat lebih-lebih lagi melibatkan anak kecil.

"Kena ambil tahu mereka duduk di mana, contohnya parit air sebelah rumah tapi pintu tidak dikunci," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu beliau menyampaikan Pakej Prihatin sumbangan Yayasan Petronas di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di sini.

Mohd Nassuruddin sempat meninjau kanak-kanak melakukan aktiviti di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang.
Mohd Nassuruddin sempat meninjau kanak-kanak melakukan aktiviti di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang.

Mohd Nassuruddin turut mengucapkan terima kasih kepada semua urus setia banjir yang telah bertungkus lumus memastikan segala persiapan berjalan lancar.

Setakat jam 12 tengah hari, banjir di Kelantan hanya melibatkan jajahan Pasir Mas seramai 4,641 orang.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 12 PPS dibuka iaitu SK Gual Tinggi (903 mangsa), SK Sri Rantau Panjang 2 (711), SK Gual To' Deh (813), SMK Gual Periok (154), SMK Baroh Pial (705), SK Gual Periok (269), Madrasah Tasek Bakong (39), Masjid Mukim Padang Licin (131), SK Sri Kiambang (345), SMK (A) Lati (88), SK Chicha Tinggi (261) dan SK Lati (223).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!