Aplikasi MAE tergendala gara-gara tuntut RM100 eMadani
SHAH ALAM - Aplikasi MAE tergendala buat masa ini gara-gara orang ramai menuntut kredit eMadani, iaitu tawaran e-kredit tunai sebanyak RM100.
Perkhidmatan berkenaan mengalami aliran trafik tinggi sehinggakan pengguna tidak dapat menuntut wang bantuan tersebut yang boleh diakses sejak jam 8 pagi tadi.
Institusi perbankan, Maybank berkata, pihaknya mengakui sedang mengendalikan masalah tersebut dan meminta pengguna supaya bersabar.
“Kami sedang selesaikan masalah ini, mohon maaf di atas sebarang kesulitan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, bantuan yang dilaksanakan secara sekali bayar (one-off) itu dibuka mulai 4 Disember hingga 20 Februari 2024.
Ia merupakan inisiatif daripada Kementerian Kewangan (MoF) dilancarkan bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai, memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak dengan peruntukan RM1 bilion.
Terbaharu, kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMadani.
MoF memberitahu, langkah itu bakal diambil sekiranya terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.
Tambahnya lagi, kredit eMadani hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet seperti MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit serta perniagaan seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!