Buruh didakwa sebabkan kematian rakan
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dakwaan menyebabkan kematian rakannya dalam kejadian pada pertengahan November lalu.
Tertuduh, Alias Mokhtar, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Che Marzuki Che Daud, 45 di sebuah rumah di Gelugor Kedai di sini kira-kira jam 8.30 malam pada 19 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 1 Januari depan dan tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Prosiding pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini media melaporkan empat lelaki berusia 35 hingga 50 tahun ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian mangsa.
Keempat-empat suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama tujuh hari bermula 21 November bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Difahamkan, kejadian bermula dengan pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum berlaku pergaduhan di mana mangsa dipercayai dipukul dengan senjata tumpul.
Kejadian itu disedari rakan mangsa keesokan hari apabila mangsa dijumpai di bahagian dapur dengan kesan luka dan lebam seluruh badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Tiga lagi suspek kes itu yang sebelum ini direman dibebaskan dengan jaminan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!