Nahas dua beranak: Pemandu lori tanah ditahan bantu siasatan

Laporan Sinar Harian pada 3 Disember 2023.
Laporan Sinar Harian pada 3 Disember 2023.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan pemandu lori tanah yang dipercayai terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan dua beranak maut di Jalan Kolon, Pokok Sena, dekat sini, pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan selama sehari untuk membantu siasatan.

"Lelaki itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua beranak termasuk wanita hamil lima bulan maut selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka dirempuh lori tanah dalam kejadian jam 9.55 pagi.

Kedua-dua mangsa, Nadzifah Abu Seman, 28, dan ibunya, Romadiah Ismail, 65, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Siasatan awal polis mendapati lori tanah terbabit dipercayai datang dari arah Alor Setar menghala Pokok Sena, manakala tiga buah kenderaan lagi dari arah bertentangan.

Kemalangan berlaku apabila lori tanah dikatakan cuba mengelak sebuah motosikal yang masuk di laluan hadapannya sebelum melanggar tiga kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Kemalangan itu turut melibatkan dua kenderaan iaitu Perodua Axia dan Toyota Hilux yang datang dari arah sama.

Sementara itu, suami Nadzifah, Ismail Mohamad, 28, berkata, dia tidak menyangka dua mangsa maut dalam klip video di WhatsApp diterima adalah isterinya yang hamil lima bulan dan ibu mentua.

Ismail berkata, dia reda dengan pemergian isterinya walaupun hasrat mereka untuk menyambut kelahiran cahaya mata sulung pada April depan tidak kesampaian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!