UMNO akan hilang jika terus bersama DAP - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa UMNO akan hilang secara keseluruhan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika masih bersama DAP.

Beliau berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman merupakan bukti bahawa sokongan kepada UMNO kian merosot.

“Selagi UMNO bersekongkol dengan DAP sokongan kepada parti itu akan terus merosot. Semua sedar UMNO bukan lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

“Perjuangan UMNO ialah untuk duit, untuk selamatkan kepimpinan yang bersekongkol dengan jenayah,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

Pada 2 Disember lalu, Pas telah berjaya mengekalkan status quo apabila memenangi PRK Parlimen Kemaman dengan majoriti yang lebih besar, dengan penambahan lebih 10,000 undi.

Calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 berbanding 27,179 undi yang dimenangi penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi manakala pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari Barisan Nasional (BN) memperolehi 27,778 undi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir memaklumkan, hanya terdapat satu cara untuk menyelamatkan UMNO iaitu melalui pemisahan dengan DAP.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, parti tersebut perlu berbalik kepada perjuangan demi bangsa, agama dan negara malah menggugurkan pemimpin yang telah berusia.

“Masalah Melayu perlu diperjuangkan semula khususnya berkenaan kemiskinan orang Melayu.

“Saya sedih kerana bapa yang menyelamat UMNO pada suatu masa dahulu tetapi anak memusnahkan UMNO setelah mengambil alih kepimpinan.

“Suka atau tidak inilah kenyataan. Inilah mesej Kemaman,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!