'Empat tahun ini kita buat untuk rakyat' - Ridzuan
SEREMBAN - Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Ridzuan Ahmad (PN-Gemas) berharap kerajaan negeri dapat memberikan peruntukan sama rata termasuk kepada lima wakil rakyat pembangkang di negeri ini.
Ridzuan Ahmad (PN-Gemas) berkata, kemungkinan terdapat perbezaan pandangan di antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang namun masing-masing bekerja untuk memajukan negeri.
"Apa salahnya, jika tidak dapat bagi sepuluh, bagi tujuh, jika tidak dapat tujuh bagi lima. Tapi ibarat anak, mana mungkin anak Datuk Seri (Aminuddin Harun) nak beza-bezakan.
"Lima tahun ini kita memacu Negeri Sembilan bersama-sama, negeri ini negeri contoh, kita jangan tunjukkan permasalahan, perselisihan pendapat kita, kita jadikan negeri ini negeri yang terlatih, beradab dan beradat, kita mulakan dari Negeri Sembilan.
"Apalah maknanya, daripada 36 Dewan Undangan Negeri(DUN), hanya handal di 31 DUN sahaja, kita buat bersama-sama, tahun akhir nanti kita berperanglah kembali, empat tahun ini kita buat untuk rakyat, beri beras sama rata, bantuan banjir sama rata,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023 pada hari kedua, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berharap Aminuddin bersedia menyambut pelawaan ADUN Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan pertemuan dengan Aminuddin bagi membincangkan mengenai perkara itu.
“Kami berharap dapat berjumpa Datuk Seri, kami lima orang ini tidak hilang rasa hormat kepada Datuk Seri, tidak luntur juga luak sebarang kehebatan Datuk Seri sebagai ketua eksekutif untuk kerajaan Negeri Sembilan, apa salahnya mendengar,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, PN menang di lima buah DUN iaitu Gemas, Labu, Serting, Bagan Pinang dan Paroi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!