PTPTN: Nik Abduh akui kerajaan gagal selesai masalah
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu memberi perhatian penuh terhadap cadangan penubuhan Perbadanan Wakaf Pendidikan Tinggi bagi menggantikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, konsep tabungan wakaf itu bukan bermakna kerajaan memberikan autonomi kepada universiti seperti yang dirancang melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
“Justeru cadangan ke arah penubuhan Perbadanan Wakaf Pendidikan Tinggi seharusnya diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan.
“Saya ingin tegaskan masalah PTPTN tidak boleh hanya dilihat dari sisi pembayaran semula semata-mata tetapi turut memerlukan penyelesaian secara menyeluruh seperti yang dibangkitkan.
[ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN: Kerajaan sekarang lebih kejam]
[ARTIKEL BERKAITAN: Mereka pangkah PH kerana PTPTN]
“Lebih utama, saya menekankan perlunya penyelesaian sebenar yang akan memberi sinar harapan kepada generasi baharu yang menuntut capaian pendidikan percuma untuk setiap rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, ketetapan baharu kerajaan terhadap peminjam PTPTN dilihat lebih keras berbanding kerajaan terdahulu.
Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan baharu yang menjanjikan pentadbiran lebih berintegriti ke arah kesejahteraan rakyat, seharusnya kerajaan bermula dengan memberi berita gembira dengan kerangka penyelesaian yang lebih menyeluruh, tuntas dan meyakinkan.
“Malangnya, rakyat menerima berita buruk yang terpaksa sahaja ditelan. Kerajaan gagal mengemukakan solusi yang diharapkan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Semua kena bayar hutang PTPTN: Najib]
[ARTIKEL BERKAITAN: Cemerlang belum tentu dapat pengecualian bayaran balik PTPTN]
[ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN nak ke terima RM20 sebulan?]
“Ia jelas gagal memberi kelapangan yang lebih kepada para peminjam yang telah dihimpit dengan isu peluang pekerjaan yang sempit, kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.
Tegasnya lagi, selama mana isu pendidikan dibelit dengan permasalahan bisnes dan pinjaman kewangan, selama itulah negara akan kehilangan nilai aset manusiawi yang luhur dan cemerlang.
“Dunia pendidikan akan berhadapan keciciran akibat kemiskinan dan belenggu belitan hutang di awal usia generasi muda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!