Dakwa Menteri Pelancongan reka cerita, Sanusi perjelas situasi

Sanusi (kanan) dan King Sing (kiri) ketika hadir majlis jamuan tengah hari di Sadao, Thailand pada 27 November lalu.
Sanusi (kanan) dan King Sing (kiri) ketika hadir majlis jamuan tengah hari di Sadao, Thailand pada 27 November lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertikaman lidah antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing tampak tidak berkesudahan.

Bermula dengan isu pelancongan Langkawi, kini meleret pula kepada lawatan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sadao, Thailand.

Terbaharu, kedua-dua pemimpin itu berbalas kenyataan berhubung etika di meja makan dalam lawatan ke Sadao.

Sanusi menempelak dakwaan King Sing yang mengatakan beliau tidak tahu protokol dalam mesyuarat bilateral tersebut apabila meminta nasi tambah ketika jamuan membabitkan pemimpin kedua-dua negara.

“Serius, King Sing berbohong tentang saya minta nasi tambah. Tak ada menu nasi dalam jamuan bersama Perdana Menteri Thailand itu. Saya makan menu utama yang saya tak tahu namanya. Yang pasti, memang tiada nasi dalam hidangan itu,” katanya pada Isnin.

Menurutnya, tanpa meminta, tiba-tiba petugas hotel meletakkan satu lagi hidangan di hadapannya yang mempunyai sejemput nasi goreng.

“Saya pun hairan. Kemudian Perdana Menteri tanya, tak makan kah, diet kah? Saya pun jawab sambil ketawa, bukan diet mereka bawa satu set lagi membuatkan Anwar turut ketawa.

“Untuk tidak menghampakan petugas hotel, saya pun jamah hidangan nasi goreng separuh. Kenapa dia reka cerita sampai macam tu sekali? Hairan!” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sanusi (kiri) King Sing (kanan).
Sanusi (kiri) King Sing (kanan).

Sanusi memaklumkan, ketika jamuan berkenaan, beliau duduk di sebelah Menteri Pelancongan Thailand, Sudawan Wangsuphakitkosol, sementara King Sing duduk bersebelahan Perdana Menteri Thailand berhadapan dengannya.

King Sing dalam kenyataannya sebelum ini memperlekeh Sanusi dengan berkata, “Bila acara makan tengah hari rasmi, you (Sanusi) makan satu piring tak cukup, minta piring kedua. Saya sebagai menteri pelik nampak menteri besar tidak tahu protokol, tidak tahu menghormati.”

Sebelum itu, Sanusi dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu, mempersenda penampilan King Sing sebagai ‘tokong berkepala botak dan berperut buncit’.

King Sing membalas dengan mengatakan, “Dia (Sanusi) punya otak masuk air ke apa? Tuhan pun kasi sama tuduh. Dia kata saya duduk bawah pokok pisang, macam tokong Buddha berperut besar. You sudah menghina satu tokong lagi.”

Sanusi ketika itu merujuk kepada tindakan King Sing yang tidak memberikan sebarang pandangan dalam mesyuarat bersama wakil Malaysia-Thailand di Sadao, pada 27 November lalu.

Mengulas perkara itu, Sanusi berharap King Sing tidak mengambil serius gurauannya itu.

“Menteri Pelancongan, jangan lah sampai tak boleh bergurau. Jom kita main ragbi (untuk redakan ketegangan),” katanya.

Dalam DUN berkenaan, Sanusi turut mempersenda King Sing dengan mengatakan, wajah menteri berkenaan tiada tarikan pelancongan langsung.

Sanusi juga memaklumkan, jumlah kemasukan rakyat Malaysia ke Thailand ialah empat juta setahun, berbanding hanya 1.3 juta dari negara gajah putih itu.

Mengulas isu terbabit, King Sing dalam kenyataan video menjelaskan, Sanusi juga perlu bertanggungjawab berhubung jumlah kemasukan pelancong antara dua negara itu yang tidak setara.

“Kamu sendiri tidak boleh buat promosi? Kenapa kesilapan semua tuduh orang lain punya silap.

“Saya tidak tahu hendak ketawa atau menangis dengar hujah Sanusi. Sanusi kena rasuk ke sampai tergamak keluarkan kenyataan sedemikian? Inikah mentaliti dan sikap seorang menteri besar? ” soalnya.

Sebelum isu tersebut berbangkit, kedua-dua pemimpin itu berbalas kenyataan mengenai pelancongan Langkawi, yang menjadi punca pertelingkahan mereka.

Sanusi mendakwa King Sing mensabotaj Langkawi apabila mengeluarkan kenyataan pelancong tidak boleh memakai seluar pendek ketika berkunjung ke pulau tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!