Pengecualian visa 30 hari: Pelancong China, India diyakini meningkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
PUTRAJAYA - Bilangan pelancong China dan India ke Malaysia diyakini meningkat pada 2024 susulan keputusan kerajaan memberi pengecualian visa selama 30 hari untuk pelancong dari dua negara berkenaan mulai 1 Disember lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Melihat ia petanda baik bagi kebanyakan industri dalam negara seperti bidang perhotelan dan logistik, King Sing berkata, pemain industri pelancongan telah dimaklumkan untuk bersiap-sedia menerima angka pelancong tinggi yang secara langsung akan meningkatkan pendapatan mereka.

Datuk Seri Tiong King Sing
Datuk Seri Tiong King Sing



"Kita harap dengan pengecualian visa ini, kita tambah beberapa juta orang (pelancong asing) lagi.



"Kita cuba sedaya upaya macam mana kita boleh tingkatkan dari segi promosi di negara masing-masing (China dan India) untuk tingkatkan bilangan pelancong,” katanya.

King Sing berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat permulaan penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 di sini pada Isnin.

Data Jabatan Imigresen dari 1 Januari hingga 15 November lepas mencatatkan 26 juta kemasukan warga asing ke Malaysia, dengan 1.47 juta pelancong adalah dari China manakala 780,532 merupakan pelancong India.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 November lepas membuat pengumuman berhubung pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia dalam semangat kerjasama strategik hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun pada 2024.

Ketika ini negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan menikmati kemudahan pengecualian visa berkenaan. - Bernama
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!